Kembali

KHUTBAH JUMAAT
19 Januari 2007 / 29 Zulhijjah 1427 H
Tajuk :
Nilai Masa Dalam Kehidupan Manusia

OLEH : Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak

 

: Demi masa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh dan mereka yang menyeru kepada kebenaran dan mereka yang menyeru dengan kesabaran “…Wal –Asr 1-3)

Sidang jumaat yang dihormati sekalian,

Tanpa disedari masa berlalu begitu pantas sekali. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, dan tahun berganti tahun. Kini kita sedang berada diambang tahun baru 2007 masihi, dan hari ini juga merupakan hari terakhir bagi tahun 1427 hijriah. Dan besok akan bermula tahun baru kalender Islam bersamaan1 Muharam 1428 hijriah. Walaupun tahun 2006 yang dilalui itu dirasai terlalu singkat dan terasa begitu pendek sekali. Rasanya hari yang dilalui pada tahun 2006 itu tidak sampai 365 hari. Itulah hakikat masa dan peredaran umur kita.

Tuan tuan para jemaah sekalian,

Meskipun pada setiap tahun kedatangan tahun baru masihi itu disambut dengan kegembiraan, dengan tembakan bunga api, serta mengadakan acara hiburan sambil menanti pengiraan detik detik jam 12.00 tengah malam secara beramai-ramai yang menandakan masuknya tahun baru 2007, Ramai remaja remaja melayu diwaktu itu, terkinja kinja sambil menjerit jerit kerana seronoknya menyambut tahun baru, Tetapi berbedza dengan sambutan hari ulang tahun hijriah dimana umatnya diminta bermuhasabah diri akan kelakuan amalan ditahun 1427 hijriah dan diminta berhijrah daripada berakhlak mulia kepada akhlak yang lebih mulia lagi untuk tahun 1428 hijriah. Namun kita sebagai orang Islam, apabila tibanya kedua dua sambutan tahun baru ini, sepatutnya berasa risau terhadap usia diri yang semakin meningkat dan panggilan kematian yang semakin dekat.

Kerisauan perlu dihadirkan dalam diri dengan seribu macam persoalan tentang masa depan kita apabila bertemu dengan Allah SWT, tuhan yang menghidupkan dan tuhan yang mematikan setiap makhluk. Apakah sudah cukup amalan kita. Apakah sudah tertebusnya dosa kita. Dosa kepada makluk maupun dosa kepada Allah. Apakah layak kita menjadi penghuni syurga yang kekal abadi. Apakah mampu kita menahan malu di Padang Mashyar nanti apabila Allah membuka segala keburukan dan rahsia kita dipamirkan secara terperinci satu demi satu. Sanggupkah kita menahan kepanasan matahari terik dihari masyar nanti sebelum menunggu untuk dibicarakan di mahkamah Illahi.

Sidang jumaat yang dihomati.

Meningkatnya angka tahun, bermakna semakin tua usia sesaorang itu, dan bertambah tualah usia dunia ini maka bermakna saat kedatangan hari kiamat itu sudah benar semakin hampir terjadi. Jika lahirnya Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai bermulanya zaman pangakhiran dunia kerana Baginda SAW itu adalah merupakan nabi akhir zaman. Tiada nabi selepas baginda, bermakna kita ini adalah umat yang terakhir menduduki dunia ini. Yang nyata jazad baginda SAW telahpun berada dialam alam barzah, telah meninggalkan kita lebih 1,400 tahun yang lampau. Ini memberi tahu kita semua, bahawa umur dunia ini pastinya benar benar telah lanjut. Dengan perbagai petunjuk dan peristiwa anih yang kita lihat yang terjadi kepada objek besar yang melibatkan petaka dunia di sana sini, letupan gunung berapi, gegaran gempa bumi dan amukan ombak Tsunami yang disebabkan geseran dan rekahan dilautan bumi. Bencana terhadap alam seperti ini, sudah cukup membuktikan bahawa dunia ini sudah semakin hancur dan uzur. Peristiwa ganjil ini juga turut berlaku di tanah air kita sendiri, seperti banjir yang melanda pada kawasan tinggi yang tidak mungkin terjadinya banjir, hari ini tempat tinggi yang dianggap selamat turut menerima musibah banjir, tidak surut surut walaupun hujan telah reda namun air masih ada, kerana air bukan sahaja turun dari langit namun boleh membuak terbit dari bumi dengan kehendak Allah yang maha berkuasa.

Sidang jumaat yang berbahagia.

Justeru itu, masa atau nyawa yang masih berbaki kepada setiap insan itu tidak sewajarnya dibiarkan begitu sahaja. Hendaklah kita menjadikannya begitu bernilai dan berharga. Seperti kata pepatah Melayu “ Masa itu ibarat emas “ malah maksud sebuah hadis Rasulullah SAW “ Bahawa masa itu Ibarat pedang yang tajam, Jika kamu tidak memotongnya maka kamu akan dipotongnya “. Oleh kerana kepentingan masa, maka Allah Taala bersumpah dengan Wal-asr. Iaitu “Demi Masa”. Manusia akan sentiasa berada didalam kerugian sekiranya tidak dimenfaatkan masa itu dengan panduan iman dan taqwa. Jika masa itu diisi dengan aktiviti harian yang tiada manfaat maka ia seumpama menanam pohon lalang, yang tiada berguna dan tiada memberi pulangan apa apa, sepertimana maksud hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah r.a.

“ Diantara tanda kebaikan keIslaman seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak berguna baginya “

Saudara muslimin yang dirahmati.

Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud “ Dua nikmat yang selalu diabaikan oleh ramai manusia iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Masa dalam konteks kehidupan seorang Muslim adalah sangat berharga. Malah lebih berharga daripada nilai wang ringgit.

Oleh kerana begitu pentingnya masa, maka setiap waktu dalam kehidupan kita, sering dikaitkan dengan sesuatu ganjaran jika melakukan amalan yang tertentu. Seumpama waktu fajar dikaitkan dengan dua rakaat solat sunat ketika itu, lebih baik dari nilai dunia dan seisinya. Waktu ditengah malam pula ialah saat yang paling afdhal bermunajat kepada Allah Taala. Semua dikaitkan dengan penglibatan masa atau waktu seseorang.

Saudara kaum muslimin yang dihormati.

Masa itu sepatutnya digunakan sebaiknya kerana ia sesuatu yang tidak dapat dikembalikan semula. Masa muda yang lalu itu tidak dapat dikembalikan lagi apabila sekarang kita dipanjat usia tua, begitulah juga masa sihat dan masa lapang tiada siapa yang boleh mengembalikannnya. Nabi SAW bersabda “ Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah dan masa hidup sebelum mati. Mari kita melihat sebagai contoh ketika waktu kita berusia muda dahulu. Tenaga hebat, khudrat kuat, fikiran kita cerdas, lantaran itu Islam menggalakkan waktu tersebut digunakan untuk menimba ilmu bagi kepentingan dunia dan sejahtera di akhirat, manakala kekuatan badan yang ada pada kita diwaktu itu kita gunakan untuk mencari bekalan rezeki kehidupan, dan tumpuan beribadat sebanyak mungkin, Dan jangan sekali-kali digunakan untuk perkara maksiat dan perkara yang tidak memberi faedah. Hari ini banyak gulungan muda malah gulungan tua juga, membuat dan memilih sesuatu yang salah, seperti mempunyai akal fikiran yang cerdik, tetapi telah menuntut ilmu yang sesat lagi syirik, seharusnya diwaktu ini, menghafal banyak ayat ayat suci al quran, tetapi sayangnya mereka ini berusaha benar menghafal jampi serapah yang syirik untuk bagaimana boleh menjadi manusia yang tidak lot ditikam senjata, atau boleh berjalan diatas api dan bara, atau pun ketika muda dahulu, terasa badan kuat dan sasa, maka semua orang akan kita belasah belaka, malah sanggup mengambil upah sebagai samseng tarik kereta. Inilah yang dikatakan orang yang mensia siakan masa. Akibatnya bila sudah tua, khudrat dah tiada,dan sakit datang bertimpa timpa, mula diri terketar terketar dan sedarlah, waktu ini kita boleh ditumbangkan oleh sesiapa sahaja. Malah daya ingatan langsung tidak berfungsi, hingga tidak boleh mengawal diri sendiri lagi. Inilah akibatnya orang yang mensia-siakan masa ketika waktu muda remaja.

Sidang jumaat yang berbahagia

Diriwayatkan bahawa malaikat Maut telah datang bertemu Nabi Yaakub . Maka Nabi Yaakub bertanya Apakah kamu datang untuk mencabut nyawa ku “ Jawap Malaikat maut “ Tidak “ Sekadar datang untuk menziarahi sahaja. Berkata Nabi Yaakub “ Aku ada satu permintaan kepada mu “ Apa permintaan mu “ Jawab Malaikat “ Kata Nabi Yaakub : “Jika kamu datang untuk mencabut nyawaku maka hantarkanlah dahulu utusan untuk memaklumkan terlebih dahulu. Kata Malaikat “Ya” Kemudian Malaikat Maut pun pergi. Setelah beberapa tahun malaikat maut datang kembali kepada Nabi Yaakub.

Lalu Nabi Yaakub bertanya “ Kamu datang untuk menziarahi atau mencabut nyawa ku “ Kata malaikat “ Aku datang kali ini, untuk mencabut nyawamu. Lalu Kata Nabi Yaakub : Bukankah telah kukatakan, jika kamu ingin mencabut nyawaku, hantarkan dahulu seorang utusan, supaya dapat aku bersedia menambah ketaatan dan amal kebaikan. Jawab Malaikat Maut “ Aku telah lakukannya. Kata Nabi Yaakub “ Tiadapun utusan yang datang kepada ku “ Jawab Malaikat Maut “ Sesungguhnya Allah telah mengutuskan utusan iaitu Masa yang berlalu, dimana tumbuhan UBAN dikepala dan BONGKOKnya tulang belakangmu.

Muslimin yang dikasihi.

Masa juga mesti dipelihara dengan menepati amanah yang dipertanggung jawabkan. Hari ini banyak orang tidak beramanah dengan masa. Kerap datang lambat ketempat kerja. Fenomena lambat menghadiri mesyuarat, lambat memulakan sesuatu majlis dan lambat menyiapkan tugasan yang diberi. Budaya lambat ini adalah gambaran kemalasan dan kelembapan dan kebiasaannya budaya inilah yang membantutkan kemajuan sesaorang ataupun syarikat. Budaya lambat dan tidak menepati masa dikalangan orang melayu memang sudah sebati hingga dicatatkan sebagai “ Jam Melayu “ atau Janji Melayu” Bermula lambat dari upacara akad nikah lagi, lambat pada majlis bersanding dan lambat segala galanya. Tetapi ianya tidak mengapa kerana melambatkan masa itu adalah suatu realiti sebenar pada kehidupan orang orang kita. Tetapi Allah tepat meletakkan masa pada sesoarang, Saat kelahiran manusia, malah waktu ajal sesaorang itu, dimana Allah tidak akan mempercepatkan atau melambatkan sesaatpun, seperti mana firmannya.

“ Demi Allah sekali kali tidak akan menangguhkan saat kematian sesaorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan “….Al-Munafiqun ayat 11.


Malah pada bangsa dan Negara yang maju, Penggunaan masa sangat penting bagi mereka. Di Jepun kelewatan satu saat boleh menyebabkan kita ketinggalan keretapi, bangsa Yahudi umpamanya dikerah untuk mengutamakan masa lantaran itu mereka mudah boleh menakluki bumi Palestin.

Hadirin yang dirahmati sekalian,

Biasanya diawal tahun sebuah organisasi itu akan menilai prestasi pekerjanya samada melayakkan pekerja itu layak mendapat bonus atau kenaikan gaji tahunan, tetapi sayangnya tiada seorang pun yang pernah menilai prestasi mengenai amalan dosa pahala masing masing. Pernahkah kita menilai dan insaf akan segala dosa yang telah kita lakukan sepanjang tahun yang lalu. Pernahkah kita menangis atas kecuaian meninggakan perentah sembahyang lima waktu. Marahkah kita kepada diri kita sendiri kerana tidak pernah membaca Quran sepanjang tahun, ataupun pernah kah kita meratap menangis pada 1/3 malam, memohon taubat kepada Allah SWT, sedangkan dosa yang dipikul itu berat bertimbun. Pernahkah.

Sidang jumaat yang dikasihi.

Nabi pernah bersabda yang bermaksud :

Barang siapa yang sama dua harinya maka ia adalah orang yang rugi, dan barang siapa semalamnya lebih baik dari hari ini, maka ia adalah orang yang ternafi dari kebaikan, dan barang siapa yang tiada peningkatan maka ia akan sentiasa berkurang, maka barang siapa sentiasa berkurang maka perut bumi itu lebik baik baginya daripada tinggal diatas permukaan bumi ini, Maknanya lebih baik MATI sahaja.

Sidang jumaat yang berbahagia.

Mengakhir khutbah jumaat hari ini, marilah kita bermuhasabah diri, sejauh manakah pencapaian sama ada dari sudut ibadah mahupun dari sudut pertambahan ilmu pengetahuan. Apakah masa yang Allah berikan kepada kita pada tahun 2006 atau 1427 hijriah yang lalu itu dipergunakan untuk majlis majlis hiburan semata mata atau digunakan untuk menambah amal dan pahala.


KHUTBAH KE 2
BENCANA ALAM BANJIR

Sidang jumaat yang dihormati sekalian,

Musibah banjir yang menimpa negeri Kelantan, Pahang Melaka terutama di negeri Johor ketika ini benar benar menguji tahap kesabaran dan keimanan kepada petugas petugas keselamatan, sukarelawan dan orang awam, terutama mangsa mangsa banjir itu sendiri. Mereka bukan sahaja kerugian harta benda yang musnah, anak anak yang tidak tentu hala belajar, malah sesetengahnya hilang punca pendapatan.

Cuba kita bayangkan penderitaan mereka, lebih 100,000 penduduk di Johor yang melibatkan 25,000 keluarga terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara. Rumah rumah mereka ditenggelami air yang ada mencecah bumbung, yang sudah tentu memusnahkan segala harta termasuk buku persekolahan dan perabut kelengkapan rumah. Ada diantara mereka yang berpindah hanya sehelai sepinggang kerana air naik begitu mendadak sekali.

Kebiasaan banjir dinegara ini akan surut paling lama 3 hari, namun di Johor, agak pelik, Kesebakan kita akan terasa melihat mangsa yang baru pulang ke rumah dari pusat pemindahan banjir dan belum sempat membersihkan rumah sepenuhnya serta menggantikan peralatan rumah yang musnah, terpaksa dipindahkan sekali lagi, kerana banjir datang untuk kali kedua.

Sidang jumaat yang dirahmati.

Walaupun kita sudah biasa dengan kejadian banjir di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terenggau, fenomena banjir di Johor memang luar biasa dan menjadi medan untuk menguji keikhlasan rakyat negara ini mengorbankan tenaga, wang ringgit dan khidmat nasihat bagi membantu mangsa banjir yang masih trauma dan dahagakan pertolongan dari kita semua.

Rayuan kerajaan mahukan setiap rakyat di negara ini berusaha membantu dengan apa jua yang terdaya terutama bantuan sukarela untuk membersih kembali rumah rumah mereka, serta wang ringgit bagi meringankan bebanan perbelanjaan mereka untuk memulakan kehidupan baharu. Ini masa mereka diuji Tuhan, dan kita penghuni kota bernasib baik kerana tiada bencana banjir sedemikian, Tetapi mungkin satu hari nanti kita juga akan menerima musibah Tuhan, dan pastinya rasa bersyukur jika ada insan lain yang bersimpati kepada kita. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.


  Keatas Kembali