|
KHUTBAH KHAS - TELEKOM MALAYSIA
TAJUK : Dosa Terkeji Melayari Internet Lucah
OLEH : Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak
Pen. Pengurus Hal Ehwal Islam, TM
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jumaat yang dihormati, supaya sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan masing-masing kepada Allah SWT, yakni dengan mengerjakan segala titah perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan dengan kesabaran menempuh ujian kehidupan diatas dunia ini akan memberikan kejayaan sebenar kehidupan kita didunia dan akhirat.
Berdirinya saya dimimbar mulia dihari jumaat yang mulia ini adalah tidak lain dan tidak bukan untuk memberi peringatan agama kepada diri saya dan diri tuan tuan sekalian, kerana seperti firmanNya didalam surah az-zariat ayat 55 yang berbunyi:

“Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada sekalian mukmin “……………….Az-Zariat. Ayat :55
Sidang jumaat yang dimuliakan.
Ketahuilah, bahawa bertambahnya umur dunia ini maka akan bertambahlah kemajuan teknologi dunia itu sendiri, bermakna dari sehari kesehari teknologi tinggi membangun begitu pantas sekali. Bermula dicipta kapal terbang, kemudian dicipta pula kapal angkasa, sehingga kini bermacam macam kapal angkasa berjaya dicipta manusia untuk menerokai alam cekerawala angkasa. Begitu juga kemajuan pembuatan senjata senjata api, Hari ini sudah bermacam macam senjata direka cipta, sehingga manusia itu berjaya mereka bom atom, peluru berpandu dan senjata senjata kimia, yang kadang kadang teknologi tinggi ini mampu mengundang peperangan dan pembunuhan sesama manusia itu sendiri. Inilah kelebihan otak manusia yang dianugerah Allah untuk mereka cipta sesuatu.

Sesiapa yang beroleh petunjuk, maka sesungguhnya petunjuk itu untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu atasnya. Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan Kami tidak mengazab sebelum Kami utuskan seorang Rasul. Surah Al Isra’ ayat (15)
Hari ini kemajuan dan penggunaan IT dipelusuk dunia, diperkatakan dimana-mana, tidak ketinggalan juga diperkatakan di negara kita Malaysia. Rata-rata sebuah rumah dinegara ini telah pun mempunyai satu komputer. Ini bermakna matlamat kerajaan untuk melihat satu rumah satu komputer itu berhasil didalam kontek membangunkan pengetahuan rakyat kearah celik IT.
Sidang jumaat yang berbahagia.
Kini istilah penggunaan Internet bagi mencari berbagai bagai maklumat ilmu pengetahuan telah dapat dilayari dan diperolehi oleh sebahagian pengguna Internet di negara ini. Pengguna internet dinegara ini bukan sahaja dapat melayari laman web dari negara sendiri malah boleh menjangkau dan melayari laman web dari negara negara luar. Hakikatnya pengetahuan ilmu seseorang itu akan bertambah hanya dengan menekan punat klik di komputer peribadi masing masing dirumah sendiri.
Keistimewaan menerima pelbagai makluman yang didapati di internet ini seolah-olah dunia ini berada dihujung jari tuan-tuan sekalian. Pelbagai maklumat dan ilmu yang memberi manfaat kepada pelajar dan pengkaji dapat dicari dengan begitu pantas sekali. Malangnya setiap pengguna pengguna Internet di negara ini boleh terdedah dan terjebak dengan melayari lambakan laman web lucah yang berluasa sekarang ini. Inilah yang membimbangkan ibubapa, malah masyarakat dan juga negara, kerana kesan negatif dari menonton internet lucah yang menjijikan ini boleh mengakibatkan keruntuhan akhlak remaja, perlakuan sumbang mahram yang bahaya dan keinginan mencuba melakukan sek bebas dengan rakan sebaya. Ianya bukan sahaja merbahaya ditonton oleh gulungan remaja malah amat merbahaya ditonton oleh gulungan dewasa, apatah lagi ditunton oleh gulungan tua yang diibaratkan seperti kata bidalan melayu, “ Rumah kata pergi kubur kata mari” pun akan tersungkur, terkulai iman jika terlibat sama menonton adegan lucah artis artis barat ini yang boleh dilayari di Internet ini.
Kebimbangan gejala menonton Internet lucah ini sudahpun disuarakan oleh beberapa orang pemimpin, cendiakawan dan ulamak-ulamak dinegara ini, betapa ianya mengundang padah keruntuhan akhlak masyarakat masa kini. Tidak salah kita mengatakan kekerapan berlakunya kes rogol, sumbang mahram dan gejala keruntuhan akhlak remaja dinegara kita, adalah berpunca dari menonton lambakan Internet lucah yang boleh dilayari dari negara luar. Mungkin kita tidak sedar bahawa rakyat Malaysia terutamanya kanak-kanak kini terdedah kepada 1.5 juta laman web lucah di Internet dan berpeluang melayari 33 juta halaman yang mengandungi bahan lucah dari luar negara. Biasanya negara negara yang menawarkan lambakan internet lucah ini ialah dari Papua New Guinea, East Timur, Sao Thome dan Tokelau satu satunya negara yang tidak dikenali ramai tetapi mempunyai kunjungan ramai palancong asing.
Sidang jumaat yang berbahagia.
Telekom Malaysia, sebuah syarikat milik kerajaan yang bertanggung jawab penuh menangani isu ini telah mendedahkan dimana beberapa orang pengguna Internet dinegara ini telah mengadu bahawa bil telefon mereka mendadak tinggi, sedangkan tiada kenalan atau saudara mara di negara Papua New Guinea , Sao Thome, atau Tokelau untuk dihubungi. Setelah bil telefon disiasat dengan terperinci maka terdapat catatan bahawa talian telefon tersebut telah menggunakan laluan talian antarabangsa bagi melayari internet lucah kenegara negara tersebut. Kadang-kadang memang perbuatan melayari internet lucah ini tidak dilakukan oleh seorang ayah tetapi kerap dilakukan oleh anak bujang mereka tanpa pengetahuan ibubapa dan keluarga masing masing. Syarikat Telekom Malaysia telah sedar bahawa kemelut ini perlu dibendung dan sebaran maklumat perlu dimaklumkan kepada masyarakat pengguna dimana kesan melayari internet lucah luar negara ini boleh mencecah kepada RM92.00 dalam masa 20 minit penggunaannya. Dan kebanyakan pengguna tidak sedar bahawa panggilan tersebut dibuat sebenarnya adalah atas persetujuan pengguna itu sendiri. Pengguna hanya tahu mengklik tanpa membaca sebarang perjanjian yang dipaparkan didalam Internet tersebut. Sebenarnya apabila pengguna telah bersetuju dan mengklik, maka laluan panggilan tersebut telah ditukarkan kepada laluan panggilan antarabangsa dan akan dicajkan mengikut kadar tarif dinegara tersebut. Ini menyebabkan bil telefon pengguna Internet yang terlibat akan melambung tinggi.
Hadirin yang dihormati,
Cuba kita bayangkan kalau setiap malam pengguna tersebut melayari Internet lucah ini, bermakna setiap malam pengguna tadi telah membuat panggilan antarabangsa, menyebabkan ribuan ringgit akan dicajkan kepada bil telefon kita sendiri.
Menyedari perbelanjaan yang tinggi dicajkan kepada bil telefon atas penggunaan melayari Internet lucah ini, maka mimbar mulia hari ini, ingin menasihati tuan-tuan saudara seagama ku sekalian, dimana kita sebagai pengguna Internet perlu berhati hati didalam melayari laman web antarabangsa ini. Sepertimana kata pujangga barat. “Dunia dihujung jari anda “ itu sudah tidak boleh dipakai lagi kerana mengakibatkan peminat Internet lucah ini terpaksa membayar bil telefon yang tinggi malah terpaksa menanggung dosa pula kerana melihat gambar gambar lucah yang tidak bermoral ini.
Saudara saudara ku yang dihormati,
Islam melarang keras umatnya terjerumus kedalam kancah dosa dan maksiat. Melihat atau menonton adegan gambar gambar lucah yang boleh merangsangkan nafsu seseorang itu adalah dihukumkan berdosa dan setiap pelaku akan diseksa kerana dosa yang dilakukan diatas dunia ini. Diakhirat nanti semua pancaindera kita akan disoal oleh Allah atas kerjabuat kita diatas dunia ini, mata kita akan ditanya tentang apa yang dilihat, telinga kita juga akan ditanya tentang apa yang didengar. Mengapa kita perlu mencari dosa lagi sedangkan dosa yang silam masih tidak kesempatan lagi untuk kita meminta ampun kepada Allah SWT. Firman Allah:

Pada hari itu Kami tutup mulut mereka; kedua tangan mereka memberitahu Kami, dan kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang mereka telah usahakan Surah Yasin Ayat 65
Sidang jumaat yang dirahmati sekalian,
Oleh itu setiap pengguna internet perlu berhati-hati, supaya menggunakannnya atas perkara yang bermanfaat dan tidak kepada perkara yang mengundang dosa. Kecanggihan teknologi IT masa kini direka cipta untuk menjadikan manusia itu lebih berilmu, lebih memikirkan kehebatan ilmu Allah menganugerahkan kepandaian kepada manusia untuk mereka cipta sesuatu teknologi tinggi dan faedahnya kepada manusia, dan bukan ianya dicipta untuk merosakan manusia itu sendiri. Tetapi budaya manusia itu suka melawan arus, Oleh itu pengawalan dan pemantauan perlu diberikan secara serius kepada anak anak remaja dirumah supaya tidak terjebak melayari internet lucah ini. Hakikatnya maksiat dan dosa itu berada dimana mana, cuma yang boleh menyelamatkan kita dari melakukan dosa ialah dimana manusia itu perlu mempunyai kekuatan iman dan daya tahan digoda oleh Iblis dan syaitan.
Rumah pelacuran, rumah urut, kedai toto, kedai empat nombor ekor panggung wayang, Pusat hiburan dangdut rasanya tidak dikunjungi oleh orang orang yang mempunyai keimanan dan mempunyai rasa takut kepada Allah SWT. Begitu juga siaran televIsyen, Astro, TV3 rasanya tidak bersalah jika kita sendiri yang memilih siaran siaran yang tidak bermoral. Yang bersalah ialah diri kita sendiri, kita sendiri yang memilih siaran yang tidak elok untuk dituntuni. Ianya juga sama kaedahnya berlaku kepada pengguna pengguna Internet. Kita sendiri yang memilih dan melayari laman web lucah yang mengundang dosa kepada diri sendiri.
Sidang jumaat yang berbahagia.
Semuga dengan peringatan pendek pada hari yang mulia ini dapat menginsafi diri kita, agar memberi tumpuan kepada pemantauan penyalahan penggunaan Internet lucah ini supaya tidak dilayari oleh anak anak remaja kita dirumah, Jika membiarkan perkara ini berlaku, ianya seolah-olah kita merelakan perbuatan maksiat hina ini berlaku didalam rumah kita sendiri.

Maka pada hari itu, tidak ada sesiapa yang akan dianiayai sedikit pun, dan kamu tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan. Surah Yasiin Ayat 54.
|