Kembali

KHUTBAH JUMAAT
18 Februari 2005 / 7 Safar 1426

TAJUK : Saint Valentine's Day

OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak

Dihari yang mulia ini marilah sama-sama kita mempertingkatkan keimanan masing-masing iaitu, dengan melakukan segala apa yang diperintah oleh Allah SWT dan meninggalkan segala apa yang ditegah, Mudah-mudahkan kehidupan kita akan diberkati didunia dan juga diakhirat.
Sidang jumaat yang berbahagia.
Didalam meneruskan kehidupan di alam maya ini, dan sebagai manusia yang masih lagi bernyawa diabad ini, maka kita telahpun membaca, melihat dan mendengar segala peristiwa yang berlaku keatas umat akhir zaman ini. Cerita cerita yang pelik tetapi benar dan berbagai peristiwa yang menimpa keatas umat diserata dunia terkini telah kita lihat dan menyaksikan dengan mata kepala sendiri. Rasanya cerita cerita dahsyat yang terkandung di dalam Al-Quran pada umat umat terdahulu kini telah berlaku benar didepan mata. Bagaimana peristiwa bala besar bencana alam seperti Tsunami melanda dunia baru baru ini, peristiwa kejamnya manusia antara manusia, bunuh membunuh, sembelih menyembelih, malah hingga ke saat ini, masih berlaku peperangan dan pembunuhan manusia yang tidak menampakkan akan reda. Letupan bom membunuh insane insane yang tidak berdosa sudah menjadi fenomina biasa diabad ini. Dan entah apalagi peristiwa anih yang akan kita tontoni seandai panjangnya umur kita nanti didunia ini.


Hadirin muslimin yang dihormati,
Hari ini adalah hari ke 16 kita berada pada tahun baru Maal Hijrah 1426. Bulan yang mengingatkan penghijrahan Rasulullah dari kota Makkah ke kota Madinah, Hijrah kerana Allah dan demi mendaulatkan agama Islam tercinta, dan ada juga diantara kita yang berazam pada bulan Muharram yang mulia ini, untuk berhijrah, merubah dari kehidupan yang baik kepada kehidupan yang lebih baik dari tahun tahun yang lalu. Tetapi tanggal 5 hijrah 1426H bersamaan 14hb. Februari 2005, yang baru 11 hari kita tinggalkan ini, telah mencatatkan satu titik hitam keatas kelendar Islam dinegara ini. Kerana tarikh 14 februari ini, adalah dicatatkan oleh penganut Kristian sebagai hari memperingati " Saints Valentine's Day " atau pun hari memperingati kekasih. Ianya merupakan perayaan membabitkan pasangan kekasih yang beragama Kristian, tetapi nampaknya sekarang, telah ramai anak anak muda kita yang beragama Islam terbawa-bawa merayakan sama hari ini, tanpa memikirkan kesan buruk terhadap akidah mereka. Lebih jelas lagi ianya bertentangan dengan pegangan Islam atau dalam erti kata lain, Islam tidak ada perayaan seumpama ini untuk dirayakan.


Sidang jumaat sekalian,
Kebiasaanya hari itu, pasangan kekasih, suami isteri dan mereka yang berjiwa romantis akan saling bertukar hadiah, kad ucapan, bunga-bungaan atau menghadiri majlis makan malam. Tidak kurang yang berhibur dengan menari semalaman di disko dan kelab malam sebagai memenuhi syarat rukun perayaan hari Valentine ini.


Apa yang malang, acara melampau yang tidak ada sandaran nas ini, sangat ditunggu tunggu oleh pasangan kekasih yang beragama Islam dinegara ini, yang tidak memikirkan kesan buruk terhadap pegangan aqidah mereka. Lebih jelas lagi ianya bertentangan dengan ajaran Islam. Kerana sambutan sebegini lebih menjurus kepada perbuatan mungkar dan maksiat
Nabi kita Muhammmad SAW pernah memberi amaran keras kepada umatnya supaya tidak mengikut, meniru atau melakukan budaya asing yang bertentangan dengan ajaran Islam, antara sabdanya riwayat Abu Daud dan Ahmad yang bermaksud:
"Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia turut termasuk bersama golongan itu "…Nanguzubillah hi min zalik.
Justeru itu, umat Islam hendaklah berhati-hati dengan budaya asing ini, yang sudah semacam menjadi budaya masyarakat kita pula hari ini, seperti keghairahan muda mudi kita meraikan Hari Kekasih ini.


Tuan-tuan sidang jumaat yang dihormati.
Didalam Islam tidak ada wujud budaya meraikan Hari Kekasih, ia sebenarnya merupakan budaya masyarakat agama Kristian sejak zaman berzaman. Masyarakat Kristian mempelopori budaya itu bagi memperingati paderi mereka, iaitu "Saint Valentine". Siapakah dia Saint Valentine itu, dan mengapa nama beliau dikaitkan dengan perayaan Hari Kekasih di seluruh dunia ini.
Pihak gereja Katholik telah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga paderi bernama Saints Valentine yang dikaitkan dengan mitos ini. Ketiga tiga paderi ini menerima pengakhiran hidup yang sama iaitu mati dibunuh. Mengapa tarikh 14 Februari dipilih sebagai merayakan perayaan hari memperingati kekasih ini. Kerana tanggal 14 Februari 269 Masihi adalah dicatatkan sebagai tarikh Saint Valentine ini dijatuhi hukuman mati. Lalu untuk mengingati dan menghormati diri nya yang dianggap sebagai wira cinta. Pope Gelasius, pada tahun 496 masihi mengistiharkan tarikh 14 Feburari sebagai hari Saint Valentine Day. Ianya merupakan ada hubungan rapat dengan tradisi penganut Kristian dan kepercayaan masyarakat Rom Kuno. Sambutan hari Kekasih ini tidak ada kena mengena langsung dengan adat resam dan budaya Melayu atau tata susila orang Timur. Jauh sekali bersumber daripada ajaran agama Islam yang suci.
Malangnya, masyarakat kita pada hari ini, terutama remaja-remaja, malah ada juga keluarga keluarga Islam yang merestui dan begitu ghairah dan tanpa usul periksa membudayakan sambutan Hari Kekasih dalam kehidupan mereka. Antara mereka saling mengucap Happy Valentine Day. Dan apa yang kita takuti ialah ianya akan menjadi budaya yang wajib diraikan, seperti wajibnya menyambut hari ulang tahun kelahiran yang sudah sebati diraikan oleh keluarga Islam dinegara kita pada hari ini.


Hadirin yang dihurmati sekalian,
Renungilah firman Allah :

" Orang Yahudi dan Nasaro' tidak akan senang kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk yang benar, dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keadaan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu….Al-Baqarah ayat 120.
Sebuah hadis juga menyebut daripada Anas, Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud:
"Tiga sifat yang sesiapa memilikinya akan merasakan kelazatan iman. Pertama, jika dia mencintai Allah dan Rasullullah lebih daripada lain-lainnya. Kedua, jika dia mencintai sesama manusia semata-mata kerana Allah, Ketiga, enggan kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah daripadanya, sebagaimana enggan dimasukkan ke dalam neraka"…..Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.


Hadirin yang dimuliakan,
Kita merasa hairan dan terkilan, mengapa perayaan dan sambutan yang dianjurkan oleh puak puak Yahudi Laknatullah dan adat-adat Hindu ini sangat mudah menelanjangi iman kita. Sebut apa sahaja perayaan yang ditajai mereka. Pastinya mendapat respon yang baik. Pesta menyambut tahun baru, Pesta hari jadi, April fool, Pesta rock woodstock, dan bermacam macam pesta lagi. Semuanya menjurus kepada perkara maksiat dan kebinasaan. Namun pesta seumpama inilah yang menjadi ikutan dan kegilaan anak anak muda kita dizaman ini.


Dan bagi gulungan tua pula, masih memegang adat adat lama, masih kuat mempercayai perkara tahyul seperti percaya kepada penunggu penunggu, dan percaya kepada adat-adat lama yang membelengu minda umat Islam itu sendiri. Masih ada diantara kita yang menepung tawar ketika pindah kerumah baru, menepung tawar pada kereta baru, upacara melenggang perut, upacara puja pantai dan sawah bendang, dan juga upacara merenjis air mawar kepada pengantin-pengantin konon untuk berlindung bala. Ini semua kerja karut lagi menyesatkan. Tiada ada dalam suruhan agama yang suci, tetapi itu yang kita ikuti. Sunnah Nabi mensyariatkan begini, tetapi telekkan bomoh juga yang kita percayai. Orang mencari rezeki, tulang empat kerat dibantingi, tetapi kita mencari rezeki hanya mempertaruhkan nasib dengan berjudi, tikam ekor, toto dan loteri yang diharami. Inilah kelemahan bangsa kita, yang muda cara begini yang tua cara begini. Menyebabkan gulungan muda mudah menerima dakyah Yahudi manakala yang tua sukar meninggalkan adap resam dan kepercayaan Hindu yang sudah sebati.


Peranan kita sebagai ibubapa dan orang yang mengerti, maka perlulah menerangkan kepada anak anak muda kita supaya jangan mengambil bahagian didalam perayaan seumpama ini, Katakan haram pada mereka, begitu juga dengan pihak yang berwajib perlu mengeluarkan satu fatwa bahawa menyambut Hari Kekasih dan meraikan sebarang pesta anjuran Yahudi ini, adalah bukan dari ajaran Islam sebenar dan merayakan sama adalah berdosa hukumnya.
Semuga peringatan pendek khutbah hari ini, mampu membuat kita berfikir dan merenung kembali bahawa banyak diantara kita yang telah dan sedang melakukan sesuatu diatas dunia ini perkara-perkara yang mungkar, yang tidak berlandaskan suruhan dan ikutan sunnah Nabi Besar Muhammad SAW.
Sabda Rasulullah :
Bahawa sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad dan sejelek-jelek perkara ialah perkara-perkara yang baru diada-adakan (Bid'ah) dan apa yang dijanjikan kepada kamu pasti akan datang dan kamu tidak akan terlepas daripadanya…..riwayat Bukhari.


Khutbah ke 2
Muharram


Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jumaat yang dihormati sekalian, supaya bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, iaitu menjunjung segala titah perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.
Sidang jumaat yang dimuliakan.


Bulan Muharram yang kita berada sekarang ini adalah merupakan bulan mulia dan salah satu dari bulan Haram. Terdapat hanya satu suruhan amalan sunat, berpandukan hadis sohih iaitu mengerjakannya puasa sunat pada 10 Muharram. Namun sejak dari dahulu lagi, masyarakat Melayu kita telah digemburkan supaya memperbanyakkan amalan, wirid dan doa tertentu apabila datangnya bulan Muharram seperti mandi manda dan bersuci, memakai bau-bauhan, memakai celak mata, menziarahi orang alim, Menziarahi orang sakit, Membanyakkan sedekah, memberi makan kepada fakir miskin dan anak yatim, mengusap kepala anak yatim, memperbanyakkan bacaan Qul Huwallah, mengerat kuku, dan mengerjakan solat sunat 4 rakaat dengan bacaan surah tertentu pada malam "Asyyura" Semua amalan tersebut dijanjikan dengan fadhilat fadhilat dan pahala yang kebanyakannya tidak masuk akal.


Sidang jumaat yang dihormati,
Sebenarnya tidak ada solat khas pada, tidak ada wirid khas dan tidak ada doa khas pada malam Asyuro', Amalan amalan tersebut adalah merupakan perbuatan bid'ah yang sama sekali tidak disunatkan oleh Rasulullah SAW, dan tidak pula oleh para sahabat dan imam-imam Mujtahidin dan para Muhaqqiqin.


Hadirin yang dihormati,
Bercelak mata, mandi manda dengan memakai bau-bauan, mengerat kuku, menziarahi orang sakit dan memberi makan kepada keluarga adalah merupakan amalan mulia yang seharusnya dilakukan oleh setiap orang Islam, tanpa memilih bulan dan malam tertentu, Ianya, jika mampu boleh dilakukan pada setiap hari. Mengapa kita sempitkan amalan dan fikiran kita dengan menerima hadis hadis yang mungkar dan palsu ini.


Antara amalan bid'ah yang ketara yang sukar ditinggalkan oleh masyarakat kita ialah membuat Bubur Asyyura pada 10 Muharram, yang dibangsakan kepada sunnah Rasulullah SAW, oleh setengah orang, adalah satu pembohongan yang sangat nyata ke atas Nabi Muhammad SAW dan dikaitkan pula dengan sunnah Nabi Nuh a.s. kerana riwayat mengenai Nabi Nuh yang menyuruh pengikut-pengikutnya membuat sejenis masakan dari sisa makanan dan biji-bijian, setelah mendarat ke bumi dan selamat dari bahaya taufan besar itu, adalah tidak benar sama sekali.


Saudara seagamaku yang dikasihi.
Membuat bubur Asyyura adalah tidak salah, malah buatlah beberapa kawah sekalipun jika mampu, ianya digalakkan lebih lebih jika berniat untuk disedekahkan kepada orang ramai, tetapi menetapkan membuat bubur Assyura hanya pada 10 Muharram sahaja, dan beritiqad bahawa ianya adalah perentah agama yang perlu diikuti oleh setiap umat Islam pada bulan Muharram ini, ataupun ketika sedang makan, kita seolah-olah terkenang inilah rupanya bubur asyuro yang dimakan oleh umat Nabi Nuh ketika selamat dari banjir besar, maka perbuatan inilah yang dikatakan Bid'ah, sesat lagi menyesatkan. Mimbar jumaat perlu menegur kerana ada diantara masyarakat kita yang hingga sekarang ini, apabila tibanya 10 Muharram atau dipanggil hari Asyyura, maka beria-ia benar untuk mengadakan juga bubur Asyyura hingga sanggup menubuhkan "Jawatan kuasa bubur asyyura " dan mengutip derma dari rumah kerumah, kadang kadang hingga mampu mengadakan berkawah-kawah. Malangnya amalan berpuasa sunat seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah pada 10 Muharram gagal kita tunaikan, namun 10 kawah bubur Asyuro yang tidak disunnahkan, itu yang kita bangga lakukan. Sekali lagi mimbar mengulangi, membuat makanan bubur Asyyura itu sangat digalakkan, tetapi jangan dihubungkaitkan sama sekali dengan kehadiran bulan Muharram yang mulia ini.

  Keatas Kembali