Kembali

KHUTBAH JUMAAT
28 JANUARI 2005

TAJUK : Mengimbau Peristiwa Tsunami

OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak

Para jemaah solat Jumaat yang dihormati,
Marilah kita sama sama melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas nikmat yang kita terima pada saat ini, dengan mempertingkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah SWT, yakni dengan mengerjakan segala yang disuruh dan meninggalkan segala yang ditegah.


Berdirinya saya dimimbar mulia hari ini, adalah semata-mata untuk memberi peringatan agama kepada diri saya sendiri dan juga tuan-tuan sidang jumaat yang dirahmati, seperti firmannya :

Yang bermaksud : Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada sekalian mukmin… (Az-Zariat : 55).
Sidang jumaat yang berbahagia.


Didalam suasana bergumbira yang masih terasa kerana menyambut Eidul Adhha dan saat saat menyambut Maal Hijrah 1426 ini, mari kita merenung sejenak mala petaka dan bala bencana besar dan hebat TSUNAMI yang telah melanda negara dan dan rantau negara jiran kita baru-baru ini, serta kesannya yang masih terasa dan akan terus terasa sampai bila-bila. Awal tahun 2005 ini mengheret kita melihat dan menyaksikan mereka-mereka yang terkorban baik terkorban nyawa maupun terkorban hartabenda. Setidak-tidaknya mereka itu adalah sebangsa, serumpun dan seagama dengan kita. Betapa sedih dan terharunya kita. Hati dan perasaan kita adalah turut bersama-sama dengan penderitaan yang ditanggung mereka.


Peristiwa amukan ombak besar TSUNAMI ini benar benar membuka mata, kepala dan fikiran kita betapa kecilnya kita, betapa kerdilnya kita dan betapa terdedahnya kita kepada apa jua benca dan pancaroba. Betapa lemah dan tidak berdayanya kita melawan dan meramal kuasa Allah. Bagaimana pintar dan berjaga-jaganya kita sekalipun, namun jika malang akan datang menimpa, kita akan tetap tersungkur dan terperangkap tidak dapat melepaskan diri walaupun mampu lari hingga kegunung yang tinggi. Mari kita perhatikan firman Allah SWT didalam kisah Nabi Nuh dengan anaknya yang tersebut didalam Surah Hud ayat 42 & 43. Yang berbunyi:


Yang kira-kira maksudnya : Dan bahtera Nuh meluncur diatas ombak yang besar seperti gunung. Nabi Nuh berseru memanggil anaknya yang memecilkan dirinya dari kumpulan beriman yang hendak menyelamatkan diri dengan Nabi Nuh " Wahai anakku marilah naik kapal bersama kita dan janganlah menyertai orang-orang yang kafir dan ingkar itu. Berkata anaknya " Aku akan pergi dan mendaki gunung yang kemudian akan melindungi aku dari ditenggelami air " Berkata Nabi Nuh " Tiada apapun yang akan dapat melindungimu pada ketika ini dari bencana Allah melainkan orang yang dipelihara dan dikesihani Allah " Maka datanglah ombak yang amat besar antara mereka dan tenggelamlah anaknya bersama mereka yang ingkar tadi.


Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Kejadian Tsunami yang teruk melanda Banda Aceh, Inodesia, negara jiran kita ini, mengundang kita berfikir bahawa hidup ini tidak sepanjangnya aman dan tenang seperti setenangnya air laut sebelum kejadian Tsunami datang melanda. Sehingga ketenangan dan keenakan hidup itu membuat kita kadang-kadang lupa dan menjauhkan kita dari mengingati Allah yang mencipka segala. Bukan setakat kita lupa dan jauh dari mengingat Allah, malah kita sudah mula berani mengingkariNya dengan perbuatan perbuatan dan sikap angkuh kita. Kita berani meniadakan nikmat dan kasih sayangnya, kita berani meninggalkan suruhan-suruhannya, malah kita berani pula mengerjakan larangan-larangannya, Allah Taala itu maha berkuasa, maha perkasa , maha pengasih lagi maha penyayang, dalam pada itu Allah maha tegas, jangan dicoba coba, dipermainkan atau dipersendakan.


Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Sejurus selepas kejadian Tsunami yang melanda hebat ini, langkah pertolongan, penyelamatan dan perubatan datang berbondong bondong dari seluruh dunia sebagai tanda simpati kepada mangsa-mangsa ini. Dan kata sepakat juga telah dicapai oleh para pemimpin bahawa sistem amaran awal " Early Warning System" harus dibuat dan diletakkan dibeberapa tempat stratigik guna menghadapi dan berjaga-jaga.
Bagi kita umat Islam, kejadian gempa bumi yang diikuti dengan Tsunami ini sendirinya merupakan " Early Warning System" atau amaran untuk kita semua. Bahawa akan tiba saatnya nanti apa yang dipanggil Yau Mil Qiamah, iaitu kedatangan Hari Kiamat, yang mana setiap individu Islam wajib percaya bahawa Hari Kiamat itu pastinya akan tiba. Bagi saudara saudara kita yang telah menjadi mangsa Tsunami maka berkatalah kita " Inna Lillah Wa Inna Illahi Raoji'uun dan surah Al-Fatihah untuk mereka, semoga roh mereka akan dikumpulkan Allah bersama para Wali dan Solihin. Bagi kita yang masih hidup, mengakulah kita bahawa hanya kepada Allah sahajalah tempat kita meminta, tempat kita mengadu dan tempat kita berlindung. Tiada lain.


Muslimin yang dirahmati,
Dalam pada itu, mari kita mengaji dan muhasabah akan diri kita sendiri., Apa saja yang telah kita buat selama ini yang telah menyebabkan Allah menurunkan bala yang bermacam-macam. Kejadian anih diakhir akhir zaman ini, hampir tidak kita percaya bahawa Salji akan turun di Madinah, Banjir besar sana sini, Kemarau yang menggila, Kebakaran hutan berbulan bulan, Tanah runtuh, Banjir lumpur, Gempa bumi, Tsunami dan lain-lain, tidak termasuk negara negara Islam yang menghadapi kehidupan didalam kancah peperangan, penderitaan dan kebuluran disana sini. Bagi sebuah negara pula apa pula jenis pendekatan dan pengiktibaran yang harus dilakukan. Apakah negara dipimpin dengan baik dan bersih, tiada kemungkaran dan pelanggaran hukum Allah secara melampau dilakukan dan dibiarkan berlaku, berlaku adil dan baikkah kita kepada rakyat, kepada orang-orang yang lemah, orang-orang tua yang dhoif, orang orang alim, dan wali-wali Allah. Kita juga harus ditanya? Hormatkan kita kepada kedua orang tua kita, datuk nenek kita, jiran tetangga kita. Hormatkah kita dengan hari-hari dan malam-malam berkat kebesaran agama kita, malam Jumaat, malam-malam Ramadzan, malam awal Muharram, Malam Maulidur Rasul, Malam malam kedua hari raya. Kita takuti malam malam ini telah kita isikan dengan acara-acara dan amalan yang mungkar atau yang tidak secocok yang boleh menodai kesucannya..


Kita jangan memandang remeh akan peringatan-peringatan yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW dan jangan merasa senang bahawa apa yang kita buat yang merupakan mempermainkan peringatan Allah atau kerja kerja maksiat yang kita lakukankan selama ini, tidak didatangi bala oleh Allah. Lalu merasa aman tidak perlu bimbang. Kita tidak sedar bahawa perbuatan-perbuatan tersebut dibiarkan oleh Allah untuk menduga adakah kita ingat atau kesal akan keterlanjuran kita. Lalu kita taubat atau sememangnya kita lupa terus dan melupakannya. Cuba kita perhatikan firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' Juz 15, ayat 16-17 :


Yang kira maksudnya begini : Dan jika kami Allah hendak membinasakan sesuatu negeri itu, maka orang orang hidup mewah disuruh melakukan ketaatan dan kebajikan tetapi mereka sebaliknya melakukan kedurhakaan dan kebinasaan dalam negeri itu, maka sepantasnyalah negeri itu menerima padahnya. Maka kami hancurkanlah negeri itu sehancur-hancurnya. Maka sudah berapa banyak jenarasi/kaum sesudah Nuh yang telah kami Allah binasakan. Dan sudah cukuplah tuhanMu ( Ya Muhammad) maha mengetahui lagi maha melihat dosa-dosa hamba-hambanya…..Al-Isra' a: 16 & 17.
MasyaaAllah…La haula wala…
Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang memberikan gambaran betapa akan jadinya dunia ini nanti.


Jadi dimana kita ? bagaimana kita ? Mau apanya Kita ? masih mau mengingkari kuasa dan amaran Allah? Masih lagi kah kita takabbur dengan kecanggihan atau sophisticatednya alat komunikasi kita. Ketahuilah, jika sudah sampai tiupan sanga-kala dari Malaikat Isrofil atas perintah Allah, maka tiada lagi tempat berlindung, tiada gunanya lagi early warning system dan tiada gunanya lagi percobaan-percobaan mahu lari menyelamat kemana-mana. Semuanya akan musnah, sepertimana firman Allah SWT didalam Surah At-Takwir dan Al-Infitar, juzuk 30:

Apabila langit terbelah, Dan apabila bintang-bintang berguguran atau jatuh berselerakan, Dan apabila lautan meluap-luap/menggelelgak atau pecah.


Apabila matahari digulung, Dan apbila bintang-bintang bergururan. Dan apabila gunung-gunung di hancurkan.

Semua kejadian-kejadian tadi adalah atas perintah Allah, dan tiada siapa yang dapat mengelakkannya dari terjadi kecuali Allah. Bala-bala besar seumpama ini adalah merupakan tentera-tentera Allah yang turun dan menjelma ke bumi untuk melaksanakan perintah Allah, dan apa yang ada dihadapannya akan musnah kecuali manusia yang mahu dipelihara Allah bagi meneruskan amanat Allah dan sebagai contoh dan peringatan Allah di masa akan datang.

  Keatas Kembali