Kembali

KHUTBAH JUMAAT
27 OGOS 2004

TAJUK : Taubat

OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak

Disaat yang mulia ini marilah kita sama-sama berusaha memperkukuhkan keimanan masing-masing, dengan melaksanakan segala titah perintahnya dan meninggalkan segala larangannya, Mudah-mudahan kehidupan kita akan diberkati di dunia dan di akhirat.


Sidang jumaat yang dimuliakan.
Antara perkara tersembunyi yang tidak terlepas daripada diri anak Adam seperti kita orang awam ini, ialah melakukan Dosa. Dosa merupakan racun bisa yang membinasakan diri sesaorang atau sebagai tabir gelap yang memisahkan sesaorang hamba dengan Allah SWT. Dosa boleh terjadi dari setiap sudut anggota kita. Dari perbuatan anggota pancaindera, maupun gerak lintasan hati setiap manusia itu. Pendek kata bergeraknya pancaindera, terdetiknya lintasan dihati, berkatanya lidah, memandangnya mata, atau mendengarnya telinga, maka jika perlakuan manusia ketika itu melakukan kesilapan dan kealpaan maka akan berlakulah apa yang dipangngil DOSA. Ini bermakna setiap saat dan detik setiap kita yang berada disini terdedah dan berpeluang mencipata dosa.
Sidang jumaat yang dirahmati sekalian.


Mimbar jumaat mulia hari ini ingin mengheret kita memikirkan sejenak. Bagaimanakah dosa itu boleh terjadi keatas manusia, dan sepertimana menurut Imam Ghazali bahawa dosa itu boleh terjadi dari dorongan 4 sifat-sifat berikut:

1. Di dorong oleh sifat-sifat ketuhanan dimana apabila sesaorang itu mengambil sifat-sifat Allah untuk dipakai kepada dirinya. Seperti takbur, suka dipuji disanjung dan dipuja, kerana sifat-sifat tersebut hanya Allah jua yang layak memakainya. Maka, sekirannya sifat-sifat ini ada pada kita. Maka kita akan beroleh dosa.

2. Di dorong oleh sifat-sifat syaitaniah, dimana apabila sesaorang itu bersifat hasad dengki khianat, busuk hati keatas orang muslim, menipu, pembelit, bercakap dusta, menginaya dan berlaku kejam terhadap makluk Allah termasuk menginaya manusia dan juga binatang. Melakukan perbuatan mungkar termasuk melakukan perbuatan bida'ah, termasuk memujuk orang lain terjerumus kekancah keburukan dan kemaksiatan.

3. Di dorong oleh sifat kebinatangan seperti tamak haloba, rakus dengan harta dunia, Tidak mempunyai sifat malu. Tunduk dengan arahan nafsu terutama nafsu perut dan kemaluan, yang menyebabkan berlakunya zina dan liwat, sehingga sanggup merogol anak dan cucu cicit sendiri. Pelahap memakan harta anak yatim, pecah amanah wang orang awam, Mencari harta kekayaan hanya semata-mata memuaskan nafsu sendiri.

4. Di dorong oleh sifat-sifat kebuasan seperti cepat melenting, pemarah, berdendam kesumat hingga kemati, suka memaki dan mencaci bertujuan menjatuhkan maruah orang lain, tidak memberi kemaafan. bersifat aggeresif dan ganas seperti memukul, menyepak terajang dan akhirnya sanggup membunuh serta memusnahkan harta orang lain.

Inilah punca yang melibatkan kita berdosa yang melibatkan seluruh anggota badan kita, seperti mata, telinga, kaki, tangan, lidah, perut, kemaluan dan juga hati. Daripada perkara inilah terbitnya dosa, sama ada dosa itu besar ataupun dosa kecil. Oleh Kerana manusia itu tidak boleh lari dari berdosa. Selagi kita bernama manusia, maka dosa boleh berlaku ketika dan dimana sahaja, baik dikota atau di desa, baik orang muda atau orang tua, baik pengemis dijalanan atau putera.raja. Syaitan pastinya menghimpit setiap anak Adam itu agar kita sentiasa berdosa. Hanya manusia yang tidak berdosa adalah Nabi Muhammad SAW sahaja, yang maksum yakni dipelihara daripada melakukan dosa.


Sidang jumaat yang dimuliakan.
Oleh kerana dosa selalu sahaja ada pada manusia, maka kita disuruh bertaubat kepada Allah SWT. Kerana hanya Allah jua yang berhak mengampunkan kesalahan dosa sesaorang itu. Seperti firmannya yang berbunyi:

Yang bermaksud:

" Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya. ( Taubat Nasuha) mudah-mudahan Tuhan akan menghapuskan dosa-dosa kamu dan akan memasukkan kamu didalam syurga yang mengalir sungai dibawahnya…"AT-Tahrim ayat 8.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah Azawajala membuka lebar tangan untuk menerima taubat orang-orang yang melakukan kejahatan di waktu malam hingga kesiang hari, dan menerima taubat orang yang berbuat jahat waktu siang hingga malamnya, sehingga sampai terbit matahari di sebelah barat (yakni apabila pintu taubat telah tertutup).


Hadirin jumaat yang dikasihi.
Taubat ialah penyesalan yang bersungguh terhadap dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan berazam kuat tidak akan mengulangi sekali kali perbuatan itu untuk selama-lamanya. Setelah itu hendaklah memperbanyakkan beristiqfar kepada Allah barangkiranya diampuni kesalahan yang kita lakukan itu. Orang-orang yang benar menyesal akan perbuatan yang lampau, dengan mengimbau kembali perbuatan dosa yang telah berlalu, terutama dosa kurang ajar kepada kedua dua orang tua. Mentang-mentang mereka tidak setinggi pelajaran seperti kita, kotor dan jijik pula dipandang mata, kita bercakap kasar apabila berbicara, kita tolak mentah mentah pandangan mereka, kita bernai menyanggah pendapat mereka. Sanggup membiarkan mereka hidup melarat dan merempat sana sini untuk menghabiskan sisa umur mereka. Kita sebagai anak anak amat kejam terhadap mereka. Mimbar ingin membongkar kisah benar…bahawa ada diantara anak-anak hari ini, walaupun negara kita telah 47 tahun merdeka. Namun ada segelintir lagi anak-anak hari ini, yang sanggup menempatkan kedua orang tua mereka yang nyayuk dan tidak boleh menguruskan diri sendiri ditempatkan dibilik asing yang sengaja dibuat untuk menempatkan mereka berdua dirumah kita sendiri. Waktu makan dihulur pinggan, waktu minum dihulur cawan, Berak kencing diurus sendiri, menyebabkan tempat tidur dan bau badan mereka menjadi busuk yang lantasnya tidak terhidu oleh saudara mara yang ingin menziarahi mereka. Seandainya ada diantara kita yang melakukan kedzaliman seumpama ini kepada ibubapa sendiri, Dan katakan mereka telah meninggal pergi, sedangkan kita tidak sempat meminta ampun kepada mereka. maka terbayanglah kekejaman kita itu bermain dikepala, maka akan keluarkan air mata penyesalan, air mata yang tidak dapat ditahan ditahan lagi kerana terkilan dan terasa benar benar menyesal akan perbuatan dosa itu, sambil mulut tidak henti henti melafaskan ribuan Istiqhfar kerana berasa takut dengan dosa yang dicipta, maka inilah sebenarnya proses Taubat telah mula kita kerjakan.


Saudara-saudara seagama yang dikasihi sekalian.
Perkara yang harus ada kepada sesaorang yang benar-benar ingin bertaubat ialah ilmu tentang betapa besarnya bahaya dosa kepada diri ini, dan betapa deritanya siksaan diakhirat kelak sekiranya tidak disucikan dahulu dosa itu semasa diatas dunia ini. Keduanya hendaklah mempunyai kemahuan yang tulus ikhlas untuk bertaubat dan akhirnya hendaklah meninggalkan segala perbuatan dosa yang sedang dilakukan sekarang, menyesal atas keterlanjuran dimasa yang lalu, dan terus berazam tidak akan mengulangi lagi dimasa yang akan datang. Ini lah syarat yang mesti dipenuhi oleh sesaorang yang ingin bertaubat daripada dosannya.


Taubat dan memohon keampunan kepada Allah tidak dapat tidak mesti dilakukan oleh orang-orang Islam. Rasulullah SAW sendiripun pernah bertaubat 70 kali sehari semalam, sedangkan Baginda tidak pernah melakukan dosa, dan diri baginda adalah maksum (yakni terpelihara daripada dosa). Kalau manusia mulia seperti Rasulullah SAW sendiri sentiasa bertaubat semata-mata kerana lintasan kecil didalam hatinya, bukan kerana perbuatan dosa yang dilakukannya oleh pancainderanya, Maka apa lebihnya orang seperti kita ini jika dibandingkan dengan keperibadian Rasulullah. Kita dahulu Bak kata pepatah melayu " Mujur Lalu Melintang Patah " Apa dosa yang kita tidak buat. Maka sudah tentulah taubat itu amat perlu sekali dilakukan sepanjang hidup kita ini.


Janganlah kita menangguh atau melengahkan taubat kerana berpegang kepada prinsip umur yang masih muda, Belum masanya lagi, kerana saat kematian itu jauh lagi. Ini adalah merupakan angan-angan yang ditiupkan oleh syaitan kedalam hati kita. Supaya kita menangguh-nangguhkan taubat, dan akan melupakan dosa yang dilakukan begitu sahaja, Sehingga maut datang menjemput didalam keadaan kita lalai dan cuai. Dengan ini berjayalah perjuangan syaitan untuk menggoda anak Adam itu supaya semua masuk ke neraka bersama-samanya. Nanguzubillah himanzalik.


Saudara saudara seagamaku sekalian,
Orang yang menghabiskan umurnya di dunia dalam keadaan menanggung dosa, maka ia akan di jauhkan dari memasuki syurga kerana dirinya kotor dan tidak sesuai diberi tempat yang mulia lagi suci seperti disyurga Allah. Daki-daki dan karat-karag dosa itu mesti ditanggalkan dahulu sebelum ditempatkan di dalam syurga. Tidak syak lagi cara untuk menanggalkannnya diakhirat kelak ialah dengan dicelup kedalam api neraka. Sebagaimana emas yang bercampur karat mesti disembur dengan api yang terlalu panas, sebelum keluar sebagai emas yang bermutu. Jadi saudaraku sekalian, bolehlah kita memilih samada hendak membersihkan diri dari kekotoran dosa dengan cara bertaubat diatas dunia ini ataupun dibersihkan diakhirat nanti dengan jalan disembur dengan api neraka. Sebagai orang yang berfikiran waras, sudah tentu kita akan memilih taubat daripada badan dijilat api neraka.

Selama peluang yang berharga ini masih terbuka, iaitu selama nyawa masih ada, maka carilah ruang dan peluang untuk melakukan taubat jika boleh setiap hari. . Cubalah banyangkan betapa menyesalnya orang yang telah mati sedangkan mereka tidak sempat bertaubat. Jika diizin Tuhan dihidupkan kembali walaupun sehari maka mereka sekalian akan mengerjakan ketaatan dengan bersungguh sekali.


Janganlah hendaknya kita menyangka diri kita ini bersih dari dosa, kerana dosa boleh terjadi walaupun tanpa disedari Orang yang merasakan dirinya tidak ada dosa, lalu tidak mahu bertaubat, maka itu lah sebenarnya orang yang sombong dan banyak dosa. Sebaliknya orang yang sentiasa bimbang dan takut akan dosa yang dilakukanya itu akan sentiasa bertaubat setiap hari dan sentiasa merendah diri. Orang-orang seperti inilah yang diberi layanan baik oleh Allah dan dipersilakan masuk kedalam syurga Allah seperti firmaNya.


"Wahai jiwa yang tenang, kembalikan kepada Tuhan mu dalam keadaan redza dan diredzoi, masuklah kedalam golongan hamba-hambaku dan masuklah kedalam syurgaku….."A:27 - 30 Al-Fajr(fajar). (Juz 30)


  Keatas Kembali