|
KHUTBAH JUMAAT
27 OGOS 2004
TAJUK : Solat Jumaat
OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jumaat yang dimuliakan, supaya marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT iaitu dengan mengerjakan segala titah perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kehidupan sementara didunia ini akan diberkati oleh Allah SWT..

Yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dengan mengerjakan sembahyang jumaat dan tinggalkan berjual beli pada saat itu, yang demikian adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui……Al-Jumaat A: 9.
Sidang jumaat yang dimuliakan.
Kita sebagai umat Islam, amat mengingati akan hari-hari kebesaran Islam, seperti Hari Asuro, Maulidur rasul, Israk Mikraj, malah ada diantara kita yang tahu bila tibanya hari Krismas, Deppavali dan hari Vesak. Tetapi mungkin ada diantara kita yang tidak tahu, bahawa ada satu hari yang sangat mulia disini Allah iaitu Hari Jumaat.
Ada yang beranggapan bahawa hari jumaat adalah hari mulia kerana adanya sembahyang jumaat, ataupun mengetahui malam jumaat itu elok jika hendak dibuat kenduri arwah, atau jika hendak bersedekah pisang elok juga dibuat hari jumaat, malah kalau boleh Mati pun hendak hari jumaat, kerana dikatakan terlepas siksa kubur. Itu sahaja yang kita fahami mengenai kelebihan hari jumaat.
Hari jumaat adalah hari yang terangung didalam Islam, ia mempunyai keistimewaan yang tertentu jika dibandingkan dengan hari-hari yang lain. Hari jumaat adalah merupakan hari perhimpunan besar yang disyariatkan bersembahyang jumaat iaitu melambangkan syiar perpaduan umat Islam diseluruh dunia. Rasulullah SAW menamakan hari ini sebagai SAIDUL AYYAM iaitu penghulu dari sekalian hari sebagaimana sabdnya :
" Penghulu segala hari ialah hari Jumaat dan ia adalah hari yang paling mulia disisi Allah SWT ".
Diantara keistimewaan hari jumaat ialah setiap saat pada hari ini, segala doa yang mengiringi sembahyang akan dimaklbulkan oleh Allah SWT, dan seluruh makhluk mendapat rahmat kerana keberkatannya.
Diriwayatkan juga, pada hari ini Nabi Adam as, dijadikan, dimasukkan ianya kesyurga juga pada hari jumaat, diturunkan Nabi Adam as kebumi dari syurga juga pada hari jumaat dan pada hari Jumaat juga ianya diwafatkan. Dan hari kiamat juga akan berlaku pada hari jumaat. Pada hari ini kita disunatkan berlumba-lumba mengerjakan amalan-amalan tertentu mulai daripada petang khamis hinggalah selepas waktu asar pada siangnya. Diantaranya memperbanyakkan zikir, membaca al-quran ,berdoa , berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dan juga amalan amalan sunat yang lain.
Adalah malang dan rugi sekali, jika tibanya malam jumaat kita biarkan ianya berlalu begitu sahaja tanpa pengisian ibadah sedikitpun. Masjid dan surau tidak kita kunjungi, malah sanggup berperap dirumah, atau sanggup menghabiskan masa berpeleseran dipasaraya-pasaraya, bersembang di kedai kedai kopi. Kalau pun dirumah kita sendiri, kita anak beranak menghadap TV menonton acara hiburan. Kita tidak malu kepada Allah dan rasul bahawa malam jumaat yang dijadikan itu untuk kita menambahkan ibadat telah kita sia-siakan. Mengapa tidak kita membawa anak dan isteri turut sama berjemaah di masjid dan surau untuk mengikuti aktiviti ibadah yang dijalankan. Seharusnya kita tutupkan TV dan menjadikan malam jumaat itu malam untuk kita dan keluarga menumpukan ibadah kepada Allah SWT.
Saudara-saudara ku yang dikasihi sekalian,
Apabila tibanya hari jumaat, maka kita diperintahkan untuk mengerjakan solat jumaat seperti firman Allah didalam ayat yang telah dibacai di muqadimah khutbah ini tadi. Tetapi sebelum kita ke masjid, beberapa perkara sunat perlu dibuat untuk mendapat keredzaan Allah SWT, diantaranya:
1. Mandi sunat jumaat sebelum berangkat ke Masjid.
2. Memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, dan mengandam janggut dan misai agar tidak kelihatan kusut masai
3. Memakai pakaian yang bersih, jika boleh berwarna puteh, kemas serta mengenakan bau bauan atar yang harum.
Islam menganjurkan umatnya sentiasa bersih, seperti maksud hadis Rasulullah SAW :
Bahawa kebersihan itu separuh dari Iman - Adalah memalukan, jika kita berpakaian compang camping, berseluar jean dan memakai baju T yang dipenuhi dengan gambar kumpulan rock atau gambar artis-artis dan mempunyai tulisan yang gila-gila. Sembahyang kita sah, tetapi tidak malukan kita, rezeki tuhan yang kita kecapi melimpah ruah, jawatan tinggi disandang, tetapi cara berpakaian beginikan yang harus kita pakai semasa berhadapan dengan Allah SWT yang maha agung. Apatahlah lagi jika pakaian kita itu, berbau masam dan tidak bersih, maka sudah tentu akan menganggu hidung para jemaah-jemaah lain.
Satu perkara yang perlu sangat ditekankan ialah, kita perlu datang awal-awal, supaya dapat memenuhi saf-saf yang dihadapan, kerana pahala orang yang bersembahyang disaf yang dihadapan itu adalah lebih dari saf yang duduk dibelakang. Malangnya ada jemaah yang tidak mengerti, sudahlah datang lambat tapi masih memburu untuk duduk disaf hadapan. Didalam kita mengejar pahala saf hadapan ini, kadang-kadang kita telah melanggari adat sopan masjid, Kita melangkahi kepala kepala jemaah lain dengan kurang sopan dan kadang-kadang menyakiti kepala jemaah yang kita langkahi itu. Didalam sebuah hadis riwayat At-Tarmizi dan Ibnu Majah :
Yang bermaksud : Sesiapa yang melangkahi leher orang-orang pada hari jumaat, berarti telah membuat sebuah jambatan menuju ke neraka Jahannam.
Ada pula sekumpulan jemaah datang awal, tetapi mereka tidak terus masuk ke masjid untuk beribadat, mereka lebih suka bertawaf diluar dan bersembang-sembang kosong, akhirnya bila azan berkumandang, baru mereka berduyun-duyun memasuki dewan sembahyang. Oleh itu adalah disarankan supaya sesiapa yang datang awal maka perlulah memenuhi saf-saf yang dihadapan, supaya yang datang kemudian boleh memenuhi saf-saf yang dibelakang.
Sidang jumaat yang dirahmatilah Allah sekalian.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
" Sesiapa yang mandi pada hari jumaat, kemudian memakai pakaian yang terbaik, dengan bau-bauan wangi yang ada padanya, berjalan ke masjid, sentiasa dalam keadaan tenang, tidak melangkahi dan tidak menyakiti orang lain, kemudian melakukan sembahyang sunat serta menunggu sehingga imam beredar dari masjid itu, niscaya diampunkan dosanya sehingga jumaat berikutnya."
Hadirin sekalian,
Semasa kita sampai di masjid, dan setelah mendapat tempat , maka kita di sunatkan bersembahyang tahayatul masjid dan berniat beriktikaf dan terus berzikir, bertahmid atau membaca Al-Quran. Tetapi adalah diingatkan supaya bacaan kita jangan terlalu kuat, hingga menganggu jemaah lain untuk beribadat, Bacaan yang dianjurkan ialah sekadar terdengar di telinga kita sahaja. Ada setengah masjid yang mengadakan tazkirah jumaat, maka para jemaah sekalian perlu menumpukan pendengaran atas kuliah yang diberi. Kerana ada diantara kita yang masih boleh membaca Surah Yassin dengan kuat sedangkan tuan guru mengajar dihadapan. Ini adalah kelakuan biadap dan perlu diteguri. Kerana kelebihan majlis ilmu itu adalah mengatasi segala amalan amalan di dalam masjid. Perbuatan membaca Al-Quran dan berzikir itu adalah perbuatan yang laro' ketika tuan guru sedang mengajar dihadapan. Bersembang hal-hal dunia juga adalah dilarang sama sekali kerana ianya menganggu para jemaah lain untuk menumpukan kepada ibadah. Kerja seumpama ini adalah kerja syaitan yang sentiasa mengajak kita semua agar mensia-siakan pahala pada hari jumaat.
Semasa tuan khatib sedang memberi khutbah, para jemaah yang hadir perlulah memberi perhatian yang serius dan teliti akan kandungan khutbah yang dibacai. Kerana intisari khutbah adalah mengandungi nasihat dan pangajaran untuk sama-sama kita hayati bagi membentuk diri kita bagi kejayaan dunia dan akhirat. Jangan pula mengambil kesempatan untuk tidur semasa khutbah sedang dibaca. Kerana ada diantara jemaah yang sengaja mencari tempat yang selesa untuk membolehkan mereka tidur. Untuk tidur bukan disini, kerana rasa kengantukan yang menguasai diri kalian itu adalah dari syaitan. Dan setiap jemaah itu dilarang dari bercakap cakap walaupun sepatah perkataan pun sepertimana keterangan sebuah hadis Rasulullah SAW
Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Nabi Saw bersabda Apabila engkau berkata kepada kawan engkau pada hari jumaat sedang imam berkhutbah dengan perkataan "diam" sekalipun maka sesungguhnya telah mensia-siakan sembahyang jumaat tersebut.
Saudara saudara seagamaku sekalian.
Hari ini, mungkin kerana kita jahil agama atau kerana kuatnya pengaruh iblis dan syaitan menguasai diri, ada lagi rupanya orang lelaki yang masih memandang ringan dan ada yang tidak datang mengerjakan solat jumaat. Masih terdapat orang lelaki yang tidak mempunyai udzur syarie, atau yang masih rajin bekerja, atau yang suka berpeleseran ke pasaraya masih mampu mundar mandir di kotaraya. Bagi mereka sembahyang jumaat tidak menjanjikan apa apa keistimewaan, dan mereka tidak merasa malu atau segan meninggalkan fardu jumaat yang diwajibkan keatas setiap lelaki muslim. Jika mereka memberi alasan bahawa kerja mencari rezeki itu adalah lebih afdal dari bersembahyang jumaat, maka apa yang perlu kita katakan apabila berhadapan dengan orang orang Islam seperti ini. Tetapi apa yang lebih menyedihkan lagi ada diantara mereka yang sanggup melakukan perkara mungkar seperti kesempatan mengambil tiket empat nombor ekor dan membuat kerja kerja maksiat pada hari jumaat yang mulia ini.
Gulungan manusia seprti ini Islam telah mengecap mereka seperti kata Abu Ja'd ra:
Sesiapa yang meninggalkan tiga kali sembahyang jumaat kerana menganganggapnya ringan, maka Allah akan menutup hatinya.
Dan rari Usma b. Zaid; Rasulullah berkata :
Yang bermaksud : Sesiapa yang meninggalkan sembahyang jumaat hingga tiga kali tanpa uzur, maka akan dicatat ianya dari gulungan orang yang munafik.
Saudaraku sekalian.
Didalam waktu yang sangat terbatas ini, mimbar ingin mengajak tuan-tuan hadirin sekalian, marilah sama-sama berfikir sejauh mana pengisian ibadah kita pada hari jumaat ini, sejah mana cinta dan sayangnya kita pada hari Jumaat. Sejauh mana rindu dan penantian kedatangan hari jumaat itu. Sanggupkan kita mengambil cuti pada hari jumaat hanya menumpukan ibadah dari malamnya hingga ke asar semata-mata menuntut keredzaan Allah. Mampukah kita tuan-tuan. Jika belum mampu, makan itulah kenyataan nya cinta maksima kita kepada Allah SWT.
|