|
KHUTBAH JUMAAT
13 OGOS 2004
TAJUK : Berbakti Kepada Kedua Ibubapa
OLEH: Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak
Sidang jumaat yang dihormati sekalian,
Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, iaitu mengerjakan segala titah perintahnya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kehidupan kita akan diberi kemuliaan di dunia dan di akhirat.
Berdirinya saya di mimbar mulia hari ini, adalah memenuhi satu lagi tanggungjawab agama, untuk memberi peringatan kepada tuan-tuan sidang jumaat yang dihormati sekalian, kerana sesungguhnya peringatan itu adalah memberi manfaat kepada sekalian mukmin (seperti firman Allah : akan dimasukkan kemudian)
Saudara sidang jumaat yang dimuliakan,
Ketahui lah saudara-saudara ku sekalian, bahawa setiap kita disini pastinya mempunyai kedua Ibu bapa. Baik yang masih muda atau telah tua, baik yang masih hidup atau yang telah tiada. Yang masih mempunyai Ibubapa, bersyukur kerana masih dapat menatap wajah-wajah mereka, dan masih boleh mencurah bakti kepada kedua orang tua. manakala yang sudah tidak ada Ibubapa, hanya pusara sebagai ganti untuk diziarahi dan panjatan doa untuk kesejahteraan roh mereka dialam barzah.

" Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan ( dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibubapamu, dan ingatlah kepada akulah jua tempat kembali untuk menerima balasan" ….Surah Luqman a:14
Sidang jumaat yang dihormati sekalian.
Ibu bapa adalah merupakan manusia termulia dan terpenting bagi sesaorang anak. Kerana Ibubapalah penyebab hadirnya kita kealam dunia ini, walaupun pada hakikatnnya Allah SWT itu adalah pencipta semua makluq. Ibubapa adalah merupakan manusia pertama yang wajib ditaati setelah mentaati Allah dan rasul. Maka Allah SWT telah memerintahkan kita supaya berbakti dan berbuat baik kepada keduanya. Melarang kita dari mendurhakainya, dengan sekeras-keras larangan, dan mengarahkan kita supaya selalu mengenangkan jasa yang telah dicurahkan oleh kedua ibubapa tadi. Malah keredzoaan Allah SWT pun terletak pada keredzoaan ibubapa. Maknanya, kita tidak dapat mengecap kebahgiaan hidup yang hakiki seandainya ibubapa tidak meredzoi kita, Sepertimana firman Allah SWT:

Yang bermaksud:
" Dan tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata. Dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan sekalipun perkataan * ah * dan janganlan engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia, dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah untuk mereka dengan berkata: Wahai tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil….Al-Isra 23-24.
Ayat diatas sebenarnya mengajar kita selaku anak, perlu beriteka atau beradab mulia dengan kedua ibubapa, bukan sahaja sewaktu ketika mereka muda, tetapi ketika keduanya sudah uzur dan lanjut usia. iaitu dengan cara menjaganya dengan baik dan berusaha memenuhi keperluan hidupnya. Secara ringkas setiap anak mempunyai 10 kewajipan yang wajib ditunaikan terhadap kedua orang tua, terutama ketika mereka telah tua:
1. Memberi makan kepada keduanya, jika berhajat.
2. Berkhidmat bersungguh-sungguh kepada keduanya jika diperlukan.
3. Menyahut panggilannya dengan sahutan yang lemah lembut.
4. Mentaati seluruh perentahnya selagi tidak suruhan yang berbau maksiat.
5. Berkata-kata dengan penuh sopan dan lemah lembut.
6. Memberi pakaian kepada keduanya jika diperlukan.
7. Jangan sekali-kali berjalan dihadapan keduanya.
8. Meredzoi keduanya apa yang ia redzo bagi dirinya.
9. Membenci keduanya apa yang ia benci bagi dirinya.
10. Mendoakan keduanya dengan keampunan setiap kali kita berdoa untuk dirinya.
Sidang jumaat sekalian,
Ingatlah, walau bagaimanapun besarnya pengurbanan yang kita curahkan kepada ibubapa tadi pasti tidak akan dapat menyamai sedikitpun pengurbanan yang mereka curahkan kepada kita.
Berbakti kepada kedua ibubapa adalah lebih utama dari berjihad Pi Sabilillah. Orang yang sentiasa berbakti kepada ibubapanya pasti dikurniakan Allah kelapangan dan keberkatan rezekinya, dan sentiasa dalam peliharaan Allah. Setiap sesuap makanan yang diberikan kepada ibubapanya, akan dikurniakan Allah sebuah istana di syurga, Apabila berjalan seorang kerana menziarahi ibubapanya, niscaya dikurniakan baginya tiap-tiap langkah seratus kebajikan, dihapuskan darinya seratus kejahatan dan diangkat baginya seratus darjat. Apabila duduk ia disamping dua ibubapanya, dan bercakap bersama-sama keduanya dengan baik serta bersopan santun, niscaya dikurnakan Allah kepadanya pada hari kiamat cahaya yang menerangi dan apabila ia berpisah dari keduanya, niscaya perpisahannya didalam keampuan Allah, demikianlah diantara maksud hadis Rasulullah saw.
Sidang jumaat yang dimuliakan.
Mimbar jumaat hari ini ingin menyorot dan mengimbau kembali bagaimana kesengsaraan dan kepayahan setiap Ibubapa, ketika memelihara kita sewaktu kecil dulu, perlu diungkit dan direnung kembali, mudah-mudahan akan terasa keinsafan diri, apakah kita yang berada di surau ini merupakan anak-anak yang mengenang budi atau dicop sebagai anak durhaka yang menyakiti hati mereka sepanjang hari, terutama layanan terhadap mereka yang telah tua, uzur dan nyanyuk yang mencabar kesabaran diri.
Teringatkah ketika kita masih kecil dulu, kita dibelai seperti menatang minyak yang penuh, Kalau kita sakit mereka juga akan sakit dan tidak tidur malam kerana bimbang dengan sakit demam kita. Seandainya dimasukkan ke hospital, mereka akan menjaga silih berganti siang dan malam, kerana kita seorang. Seandainya sakit kita kritikal dan terpaksa dibedah, diluar dewan bedah mereka sebak dan tidak putus-putus berdoa akan nyawa kita dipanjangkan oleh Allah. Sewaktu ketika kecil, ketika sedang nyenyak tidur tanpa disedari mereka akan mencium kita dengan kasih dan sayang, dan saekor nyamuk pun tidak dibenar menghinggap untuk mengisap darah kita. Setelah kita besar dibelikan apa sahaja yang kita minta, dan mereka sanggup berhutang berbaris, bergadai bergolok untuk menempatkan kita belajar di menara gading. Dipagi yang dingin ketika manusia lain sedang nyenyak tidur bapa kita meredah hutan, menoreh getah, mencari rezeki untuk perbelanjaan persekolahan kita. Begitu juga siibu terpaksa membuat kueh untuk jualan sebagai menambah pendapatan bapa yang tidak seberapa. Mereka sanggup berpakaian lusuh asalkan kita menjadi orang terpelajar dan senang dikemudian hari nanti. Itulah secebis kasih dan sayangnya seorang ibubapa terhadap anaknya. Tanyalah diri kalian, bagaimana sayangnya kita terhadap anak-anak kita sekarang.
Namun, hari ini, ramai manusia yang sudah tidak menghargai pengurbanan ibubapa mereka. malah masih terdengar cerita disana sini, dimana sanggupnya seorang anak melakukan perbuatan durhaka, seperti menengking, memukul, menyiksa dan menyepak terajang kepada kedua ibubapa mereka sendiri. Malah negara kita ini pernah dikejutkan dengan berita dimana anak-anak yang dirasuk iblis dan syaitan, sanggup membunuh ibubapa kandung sendiri. Naguzubillah himin zallik.
Sidang jumaat yang dirahmati,
Dengan kemajuan pesat dunia di akhir zaman ini, Atau berkemungkinan kita sudah berpelajaran dan menjawat jawatan tinggi Maka ada diantara kita yang melupai jasa dan pengurbanan kedua ibubapa. bukan sekadar mengabaikan tanggung jawab untuk memelihara mereka ketika telah tua, malah mereka berani berhujah , teguran bapa disanggah, Nasihat ibu dibantah, Pendapat mereka kita tolak ketepi dengan mengatakan pendapat kolot dan tidak berteknologi. Barangkali anak-anak seumpama ini menyangka dengan ketinggian ilmu pengetahuan dan pangkat kebesaran yang ada, membuat mereka lupa asal usul keturunan mereka. lupa akan kemurkaan Tuhan. Lupa akan susah payah ayah bonda, lupa terhadap kewajipan yang wajib dibalas kepada jasa orang tua. Mimbar memberi peringatan keras dan tuan-tuan harus sedar, bahawa setakat berpelajaran tinggi dan berjawatan mulia itu tidak ada gunanya. Kebahgiaan dan kesejahteraan hidup tidak mungkin tercapai sama sekali jika kedua ibubapa dipersiakan. Walaupun nampak bahagia, tetapi sebenarnya tuan-tuan menghadapi kemelut kedukaan kehidupan sebenar yang amat parah dan menderita.
Tuan-tuan sidang jumaat yang berbahagia.
Mari kita paparkan apa yang terjadi pada sebahagian daripada penghidupan ibubapa tua hari ini. Kebanyakannya ibubapa tua lebih suka tinggal dirumah usang di perkampungan sendiri dari mendiami rumah anak menantu di kotaraya ini. Dengan alasan ayam itek dikampung perlu diberi makan setiap hari. Ini adalah jawapan yang kerap diberi. Sebenarnya mereka terkilan dan berkecil hati, kerana setiap kali mereka datang kerumah kita. Kita gagal memberi masa dan ruang untuk bermesra dan bermanja dengan mereka seperti mereka melayani kita dahulu. Setiap hari kita tinggalkan mereka dengan dengan orang gaji Kita lebih mengutamakan kerja dari melayani mereka. Mana ada diantara kita, yang mengambil cuti hanya sekadar untuk bermesra dan melayan ibubapa ketika mereka datang menziarahi rumah kita. Dua hari mereka menginap dirumah kita, 2 hari kita mengambil cuti, melayani mereka seperti putra raja, kemana mereka mahu pergi kita bawa. apa yang mereka ingin makan kita pelawa. Tetapi layanan anak-anak dizaman moden ini sudah jauh berbedza. Baru 2 malam dirumah kita, muka kita bersama isteri sudah semacam cuka, kerana tidak tahan dengan kerenah mereka yang suka kencing merata-rata, lalu kita menghantar mereka kerumah adik beradik lain pula, Konon mereka jemu dirumah kita, Bohong sebenarnya kita sudah tidak selesa, apatah lagi kedua mereka nyayuk dan tidak boleh mengurus diri sendiri. Selepas 2 malam dirumah adik bongsu kita, mereka menghantar pula kerumah kakak yang tua. Konon beralasan tak tahan tidur a-con dan susah naik tangga. Akhirnya kedua ibubapa tadi datang semula kerumah kita, dengan alasan kakak nak ikut suami bertugas keluar negara. Mereka letih dan bosan diperlakukan seperti bola, ditendang kesana, ditendang kesini. Mereka datang untuk beristerihat di kota raya ini, rupa-rupanya semua anak tidak melayan mereka. Mereka ditempat dan dipindahkan ke merata-rata. Mereka penat dan letih berada didalam kesesakan jalanraya, berjam-jam didalam kereta Ketika waktu mereka didalam kereta untuk dihantar kerumah saudara, kedua mata mereka mengalir air mata, bukan kerana melihat lampu neon yang bercahaya, tetapi hati mereka sebak dan pilu, kerana anak-anak mereka semuanya tidak bertimbang rasa. Benar kata syair Arab : Seorang Ibu mampu memelihara 10 orang anak dengan sempurna, tetapi 10 orang anak, belum tentu boleh memelihara seorang Ibu.
Sidang jumaat sekalian.
Mimbar mulia hari ini, cukup merasa hairan, kerana ada diantara manusia hari ini yang sanggup menengking dan mengherdik ibubapa sendiri. Kerana sesuatu perkara yang kecil sekali. Memang setiap ibubapa yang telah nyayuk akan bercakap dan meminta sesuatu yang ganjil-ganjil. Kadang-kadang ada ibubapa menyuruh kita membeli satey kerana teringin sangat memakannya. sedang ibu tadi berpenyakit darah tinggi yang dinasihati doktor supaya jangan makan satey. Ada setengah diantara kita sanggup menengking dan berkata kasar kepada Ibu sendiri. " Dokltor kata emak tak boleh makan satey, kenapa emak ni degil sangat. Bila sakit nanti, siapa yang susah…marah kita kepada ibu. Ya Allah jika kita bercakap dengan ibu sedemikian rupa, maka bertaubatlah segera dan peluk lah ibu mu itu untuk diminta ampunkan dosa kita.Takut dengan kesedihan yang ditanggung nya beliau akan pergi menemui Tuhan terlebih dahulu. Membuat kita akan menyesal seumur hidupa. Jika menghadapi kerenah Ibuba seumpama ini, bercakaplah dengan lemah lembut dan berikan sahaja apa yang diminta. Siibu tadi tak akan boleh memakan walaupun untuk menghabiskan secucuk satay.
Sidang jumaat sekalain.
Menurut Rasulullah dosa yang paling besar ialah tiga : Pertamanya menyengutukan Allah, keduanya mendurhakai ibubapa dan ketika bersaksi dusta. Orang yang durhaka kepada ibubapa akan dihapuskan Allah amal kebajikannnya. Tidak dapat mencium bau syurga, akan dikenakan azab neraka yang amat pedih dan dikeluarkan rohnya dalam keadaan tidak dapat melafazkan syahadah. Durhaka terhadap ibubapa itu tidak semestinya seorang itu menyakiti atau memukul ibubapanya atau membiarkan ibubapanya susah sengsara, tetapi cukup dikira durhaka jika ia mengecilkan hati dan tidak mendengar pendapat dan nasihat mereka. Atau mengeluarkan perkataan yang kurang sopan dengan bertujuan menyakiti hati mereka.
|