Kembali

KHUTBAH JUMAAT
6 April 2007 / 18 Rabiulawal 1428 H
Tajuk :
MAULIDURRASUL

OLEH : Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak

 

MARILAH kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sidang jumaat yang dirahmati.

Hari ini,bersamaan 18 Rabiulawal 1428H, Rabiulawal merupakan bulan yang amat bersejarah bagi seluruh umat Islam, di mana Junjungan kita Nabi Muhammad SAW telah diputerakan pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan 23 April 570M. Tarikh 12 Rabiulawal disambut oleh seluruh umat Islam di dunia dengan tujuan untuk mensyukuri rahmat Allah SWT yang telah mengutus seorang pemimpin yang unggul lagi terpuji untuk mengubah suasana dan keadaan hidup manusia ketika itu, dari kejahilan kepada ketamadunan, dari kebatilan kepada kebenaran dan dari kekufuran kepada keimanan. sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Anbiyaa' ayat 107:


"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam"

Sidang jumaat yang dirahmati

Rasulullah SAW merupakan manusia agong yang harus kita contohi sifat keperibadiannya. Dihormati dan dikagumi. Baginda mempunyai sifat dan peribadi yang tidak ada tolok bandingnya. Dalam sejarah perjuangan Baginda menyebarkan dakwah Islamiah, pengorbanan Baginda adalah terlalu besar, apatah lagi ketika Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berdakwah dan berhadapan dengan penduduk-penduduk Kota Mekah terutamanya bangsa Quraisy yang degil dan keras kepala. Meskipun Baginda menghadapi berbagai cacian, celaan, hinaan dan disakiti serta didakwa pula sebagai penipu, pembohong dan sebagainya oleh sebilangan pembesar Quraisy seperti Abu Lahab dan Abu Jahal, yakni bapa saudaranya sendiri, tetapi kesemua itu tidak melemahkan semangat Baginda untuk berdakwah dan menyampaikan ajaran Islam, malahan Baginda terus menjadi lebih sabar, lebih tabah dan cekal untuk terus menyeru manusia menyembah Allah SWT.

Kita sebagai umat Islam yang cinta dan menghargai jasa-jasa Baginda SAW, maka adalah tidak memadai ataupun mencukupi, jika hanya melahirkan kata-kata syukur dan terima kasih ataupun memadai hadir ke majlis-majlis Maulid sekadar datang ke masjid setahun sekali, atau hanya untuk datang mendengar ceramah maulid yang berapi, atau sekadar untuk mengisi perut dengan Beriani, atau sekadar berarak dan berselawat beramai ramai dengan memakai pakaian sedondon yang cantik sekali, Itu tidak cukup, Tidak cukup sekadar dengan rentangan sepanduk yang themanya memuji akhlak Nabi, tidak cukup dengan kawad yang segak dan selawat yang sedap didengari, tetapi jika kecintaan tersebut tidak dilahirkan dengan mencontohi jejak langkah dan sifat sifat terpuji Nabi, Maka Sambutan Maulid Nabi tidak memberi erti, rugi, malah akan menjadi acara tradisi yang tidak mampu mengubah akhlak dan peribadi sendiri. Dan inilah kefahaman yang banyak dituruti oleh umat Islam hari ini, yang memahami bahawa Hari Kelahiran Rasulullah itu perlu disambuti dan dirai, kerana baginda adalah orangyang perlu kita sanjungi, perlu dihomati, tetapi sayang, ajaran suruhannya, perkara tegahannya, malah sunnah sunnahnya tidak mampu kita ikuti.

Hadirin yang dihormati,

Sesungguhnya Rasulullah SAW, itu diutus oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia adalah untuk menyampaikan ajaran dan aqidah yang benar dan lurus, menyeru manusia ke arah kebaikan dan meninggalkan segala kemungkaran. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al Ahzab ayat 45-47:

" Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi terhadap umatmu dan pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Dan juga sebagai penyeru umat manusia seluruhnya kepada agama Allah dengan taufiq yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi. Dan, sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah ".

Dari ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa tugas kewajipan Nabi Muhammad SAW diutus oleh Allah SWT itu ialah :

Pertamanya : Sebagai pembawa amanah yang diserahkan oleh Allah SWT untuk di sampaikan kepada umat manusia.

Kedua : Menjadi Mubasyshir yang menyampaikan berita gembira kepada umat manusia dengan menerangkan pahala yang akan diberikan kepada orang-orang yang mahu bertaqwa.

Ketiga : Menjadi Nadzir yang membawa berita duka dan khabar derita kepada umat manusia dengan menerangkan seksa yang akan tertimpa kepada orang-orang yang sering melakukan dosa


Keempat : Menjadi Da'i iaitu menyampai seruan kepada manusia supaya mengikut agama Allah SWT.

Dari ayat itu tadi, jelas membuktikan bahawa Baginda adalah utusan Allah, menyampaikan dakwah untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan dan kekejaman, serta mengajak manusia untuk beriman kepada Allah SWT. Sebagai umat Islam, sudah sewajarnya kita melaksanakan apa jua ajaran Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW kerana dengan mentaati perintah Rasulullah itu bererti kita mentaati perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah An-Nisaa' ayat 59 yang berbunyi: :


"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulilamri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu menggembalikannya kepada Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah Rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya"..An-Nisaa' a: 59

Sidang jumaat yang dihormati.


Baginda Rasulullah SAW berasa sangat marah dan kecewa terhadap orang-orang yang melanggar atau tidak mematuhi perintah Allah SWT. Terdapat sebuah hadis dari Anas bin Malik Radhiallahuanhu yang bermaksud:

"Saya tidak pernah melihat Rasulullah SAW menunjukkan kemarahannya yang sangat dalam sesuatu perkara kecuali apabila dilanggar larangan Allah. Maka apabila di langgar larangan Allah, Baginda akan kelihatan amat marah sekali".

Kemarahan Baginda Rasulullah SAW terhadap orang-orang yang ingkar hukum-hukum Allah itu adalah kerana Baginda sayangkan umatnya. Baginda tidak mahu umatnya terus tersesat tanpa pegangan kerana hanya dengan ajaran dan bimbingan agama Islam sahajalah yang dapat memimpin manusia supaya sentiasa berada di landasan yang betul dan benar, kerana barang siapa yang tidak menyukai atau menyintai ajaran-ajaran tauhid atau hukum-hukum syarak yang diturunkan oleh Allah SWT, maka itu adalah sifat orang-orang yang kufur dan berdosa besar, apatah lagi sehingga berani dengan sengajanya mengeluarkan kata-kata yang menolak atau membangkang perintah dan larangan-larangan yang telah disyariatkan oleh Allah SWT.


Sesungguhnya amat tepat sekali bila dikatakan bahawa Baginda Rasulullah SAW itu adalah contoh teladan yang terbaik untuk diikuti dalam semua aspek kehidupan sama ada dari sudut ketaatan, dan keimanan terhadap Allah, ibadat, kemasyarakatan dan pergaulan, akhlak dan peribadi dan juga siasah pentadbirannya. Kesempurnaan peribadi Baginda Rasulullah SAW itu telah termaktub dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al Ahzab ayat 21 yang berbunyi:


"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik Hari Akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang".

Sidang jumaat yang dirahmati.

Oleh itu, sudah sewajarnyalah kita mencontohi akhlak Baginda dan mengamalkannya dalam kehidupan jika kita mahu bahagia dan selamat di dunia dan di akhirat. Mari kita melihat satu contoh sifat Rasulullah SAW yang sangat mulia dalam membantu orang orang yang dhoif dan miskin di Kota Madinah ketika itu.

Diriwayatkan Rasulullah SAW hampir setiap hari memberi dan menyuapkan makanan kepada seorang pengemis buta beragama Yahudi yang mengemis disebuah pasar. Ketika menyuap makanan kepada pengemis tua ini. Yahudi tua ini tidak pernah putus putus mencerca akan Rasulullah SAW dan menghina agama Islam. Namun Nabi tidak pernah memarahinya malah Nabi dengan sabar terus menyuap makanan kepada Yahudi tua yang buta ini. Hampir beberapa lama peristiwa ini berlaku sebegitu. Yang akhirnya apabila Rasulullah telah wafat, kerja mulia ini telah diambilalih oleh Abu Bakar. Itupun setelah mendapat arahan dan nasihat dari Fatimah sebagai menyambung kerjamulia Rasulullah SAW.

Setelah disuapi, Pengemis buta Yahudi ini telah membentak kepada Abu Bakar dan mengatakan bahawa engkau ini bukanlah orang yang sering menyuapkan makanan kepadaku setiap hari. Abu Bakar berkata bahawa akulah yang menyuapkan kamu pada setiap hari. "Tidak" kata pengemis tua itu dan manyambung dengan berkata "orang yang sering menyuapkanku itu memang ada kelainan daripada kamu. Ia menyuapkan aku dengan lembut dan ikhlas sekali, Makanan yang keras dilembutinya terlebih dahulu sehingga ianya menjadi lembik dan mudah aku menelannnya. dan cara suapannya amat selesa dan disenangi sekali. "Engkau bukan orangnya" marah pengemis buta kepada Abu Bakar. Akhirnya mengakulah Abu Bakar bahawa selama ini yang menyuapkan makanan itu adalah orang lain. Pengemis bertanya " Dimanakah orang mulia itu " Jawab Abu Bakar, beliau telah wafat. Bertanya lagi pengemis buta ini. Siapakah yang sebenarnya orang yang telah menyuapkan aku selama hari ini. Kata Abu Bakar : Yang menyuapkan makanan pada setiap hari kemulutmu itu adalah Nabi Muhammad SAW. Pengemis tua ini menangis teresak resak dan amat menyesal atas perbuatannya kerana telah menghina dan mencaci Nabi, sedangkan orang yang dihina itulah yang telah menyuapkan makanan kepadanya pada setiap hari. Asabab ini, ia telah memeluk agama Islam atas kagumnya terhadap akhlak mulia Nabi Muhammad SAW, yang sanggup menyuapkan makanan kepada orang yang menghinanya pada setiap hari. Fikirkan tuan-tuan sekalian. Bayangkan seorang manusia agong sanggup menyuap makanan kepada pengemis tua yang hina ini, yang tidak ada pertalian darah, pertalian saudara maupun pertalian agama , tetapi kerana sifat kesihan kepada insane malang yang buta ini, Rasulullah sanggup melakukannya.

Kisah Ini mengajar kita, kerana ada diantara kita usahkan untuk menyuap makanan kepada orang miskin yang buta lagi hina, malah ada diantara kita, yang tidak sanggup untuk menyuapkan makanan kepada kedua ibubapa sendiri yang sedang terlantar sakit dan memerlukan suapan, Kita geli dan genyi menyuap makanan itu kepada ibubapa yang kelihatan sudah semakin usang dan menjijikan. Mana ada sifat-sifat mulia Rasulullah yang ada pada kita. Sedangkan Maulid Nabi telah berpuluh puluh tahun kita raikan. Inilah hikmah Maulid, supaya satu kesedaran boleh menyentak perasaan dan jiwa tuan tuan sekalian, menyedarkan kesilapan silam yang telah kita lakukan, supaya merubah sikap ego yang bersarang didada. Kita akan selamat malah dunia juga akan bahagia jika semua orang Islam menghayati Kristal yang ada pada junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang mulia.

Oleh itu dikesempatan beradanya kita dibulan Rabiulawal yang mulia ini, marilah kita sama-sama sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wataala dengan berzikir dan berdoa dan sentiasa mengingati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam. Mudah-mudahan kita memperolehi syafaat dari selawat yang kita amalkan dan seterusnya mendapat rahmat dan keredaan Allah Subhanahu Wataala jua. Amin yarabbalalamin.


"Katakanlah wahai Muhammad : Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya diutus oleh Allah yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimahnya (Kitab-kitabnya) dan ikutilah Dia supaya kamu beroleh hidayah petunjuk".

 

 

  Keatas Kembali