|
KHUTBAH JUMAAT
30 JULAI 2004
TAJUK : Penyakit Sombong Membakar Diri
OLEH : Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak
Sidang jumaat yang dimuliakan.
Marilah sama-sama kita mempertingkatkan ketaqwaan masing-masing, iaitu dengan mengerjakan segala titah perintahnya dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan Allah SWT akan mengurniakan keberkatan kehidupan kita di dunia dan di akhirat.
Berdirinya saya dimimbar mulia hari ini, adalah memikul satu lagi amanah Allah yang besar, untuk mengingatkan diri saya sendiri dan diri tuan-tuan sidang jumaat yang dimuliakan, Kerana setiap hati manusia itu perlu diberi peringatan yang berterusan dari masa kesemasa, kerana manusia itu kadang-kadang mudah sangat lupa, terutama asal kejadian dirinya sendiri. Kita lupa kita datang dari mana dan kita lupa akhir kematian kita kemana. Sesungguhnya manusia itu dicipta dari benih hina yang keluarnya dari saluran yang sama untuk membuang najis kencing sesaorang lelaki. kemudian manusia itu didatangkan ke dunia ini juga melalui tempat hina yang sama. Bermula dari mani yang hanyir, kemudian akhirnya menjadi bangkai busuk yang tidak terhidu.

"Janganlah engkau berjalan di muka bumi dengan sombong, sesungguhnya engkau tiada dapat menembus bumi dan takkan sampai engkau setinggi gunung…."
Al-Isra' a: 37.
Sidang jumaat yang dirahmati sekalian.
Mimbar mulia hari ini, rasa terpanggil ingin memperkatakan satu tajuk mengenai penyakit merbahaya yang sering menimpa keatas seorang manusia itu. Bukan sakit jantung atau darah tinggi, tetapi penyakit hati Iaitu sombong diri. Sombong bererti terasa kelebihan dan kehebatan yang ada pada diri sendiri, kemudian ditambah dengan sifat suka menghina dan merendahkan orang lain. Orang sombong memandang manusia lain seperti memandang saekor kaldai yang bodoh, kerana merasakan sesuatu kelebihan yang ada pada diri mereka. Seperti sombongnya Iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam as, Tidak cukup dengan kesombongannya kepada Allah, lalu ia menempelak :Mana bisa aku bersujud kepada manusia, kerana aku dijadikan dari api yang mulia, sedangkan Adam as itu dijadikan dari tanah yang hina. Penyakit sombong akan menyerang sesiapa sahaja, baik lelaki atau perempuan, baik gulungan bangsawan atau gulungan bawahan, baik yang berjawatan tinggi ataupun pengemis dijalanan.

" Aku akan belokkan dari keterangan-keteranganku, orang-orang yang menyombongkan dirinya dimuka bumi, diluar kebenaran…"
Al-A'raf a:146.
Sidang jumaat yang dirahmati sekalian,
sombong yang paling keji ialah bersifat sombong terhadap Allah SWT. Tercatat didalam al-quran, Antara manusia yang pernah sombong terhadap Allah ialah Namrud yang ingin memerangi tuhan, keduanya Raja Firaun yang pernah mengaku dirinya Tuhan :

"Allah mengatakan: Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan dirinya dari menyembah aku, akan masuk nereka jahannam dengan kehinaan……"
Al-Mukmin a; 60.
Sombong yang kedua ialah bersifat sombong kepada Rasul dan ajarannya, seperti tidak mengiktiraf seorang rasul yang diutus Tuhan kerana kemiskinan dan kehinaan keturunan. seperti Firaun yang mengaku dan menggangap dirinya tuhan, tidak mengaku Nabi Musa as sebagai rasul utusan tuhan, begitu juga Abu Lahab serta kaum quraisy yang enggan menerima Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.
Sidang jumaat yang dimuliakan.
Oleh itu mari kita memeriksa diri, apakah kita telah dijangkiti virus sombong ini, atau tanpa diketahui kita adalah salah seorang pengidap serius penyakit ini yang telah kita tanggungi berpuluh-puluh tahun sudah. Imam Al-Ghazali menyimpulkan terdapat tujuh (7) penyebab mungkin untuk mengenali sesaorang yang sedang, dan telah menghidap penyakit hati yang merbahaya ini.
Pertamanya asabab kelebihan sesaorang kerana pengetahuan ilmunya. Baik ilmu dunia atau ilmu akhrat. Bila ilmu sudah penuh didada, menganggap semua orang lain jahil belaka, semua orang buta, Hatta sekalipun jika pandangan sesaorang itu bernas dan mulia, tetapi tidak diterimanya, kerana rendahnya pengetahuan mereka dibandingkan dengan dia. Orang sombong seumpama ini, menghendaki dirinya selalu dihormati oleh manusia lain terutama ketika dikhalayak ramai, oleh anak muridnya, anak buahnya, dan orang bawahannya samada penghurmatan berdiri ketika beliau berjalan melintasi, Mengharap orang lain memberi ucapan salam dahulu kepadanya, megah dikerumuni ketika beliau berbicara, dan sentiasa diberi layanan mulia, Megah jika ditempatkan dihadapan, Marah dan geram dan terasa hina diri jika ditempatkan dibelakang. Kalau boleh bila bersalaman sengaja membiar tangannya didikucupi. Jika kalian merasa hebat, kembang dan kembung dan megah apabila disanjung sebegini kerana kononnya tingginya ilmu tuan-tuan, Maka adalah sah, itulah sombong namanya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidak akan masuk neraka, orang yang didalam hatinya ada seberat sebiji sawi darinya iman, dan tidak akan masuk syurga yang didalam hatinya ada seberat biji sawi darinya sombong"……... Riw. Muslim Abu Daud.
Hadirin yang rahmati sekalian,
Keduanya kerana kelebihan beribadat sesaorang: Penyakit orang ahli abid yang merasa diri mereka terlalu banyak beribadat berbanding dengan orang lain, banyaknya sembahyang dan rajinnya berpuasa sunat serta zikir mereka kepada Allah, sehingga menganggap orang lain tidak mampu beribadat seperti mereka, dan mereka menghukumkan orang lain semua masuk neraka kerana tidak wara' seperti mereka. Sedangkan mereka terpedaya dengan tipudaya syaitan.
Rasulullah SAW mengingatkan sabdanya yang bermaksud: Bahawa siapa yang memuji dirinya sendiri atas suatu amal salih, bererti telah tersesat dari pada mesyukurinya, dan gugurlah segala amal perbuatannya. Jika kita bersifat seperti ini, atau pun menghina orang yang tidak bersembahyang, atau apabila orang mengerjakan maksiat, lantas mengeleng-gelengkan kepala, dan tersedik berkata didalam hati. Apa nak jadi dengan kamu kalian, mengapa tidak alim dan wara' seperti aku, maka tuan-tuan dan saya sendiri adalah didalam ketegori orang yang berpenyakit sombong, maka bersegeralah bertaubat atas kejelekan akhlak tersebut.
Sidang jumaat yang dimuliakan.
Perkara ke 3 yang membuatkan kita sombong ialah kerana ego memperkasakan keturunan, Bangga kerana kita berketurunan mulia lagi bangsawan, berdarah kerabat yang dimuliakan Suka menyebut nama datok nenek moyang kita yang dulunya dikatakan keramat dan hebat. Suka menyebut pangkat ayah, dan suku sakat sendiri yang mempunyai pangkat dan i gelaran. Sifat sombong seperti ini tidak ubah seperti kaum bani Israil yang dilaknat Tuhan, seperti yang termaktub didalam al-Quran. Mereka bangga dengan keturunan mereka yang banyak menjadi Nabi ikutan, Konon Keturunan mulia yang dikasihi tuhan, mereka menganggap manusia lain itu adalah binatang yang berkeliaran Lantaran itu hingga sekarang mereka boleh menembak siapa sahaja seperti menembak anjing kurap dijalanan dengan tanpa rasa belas dan kesihan Mereka rakus membunuh sesiapa sahaja, kerana menganggap keturunan kita adalah manusia yang berstatus haiwan. Seandainya kita zalim sedemikian, bangga dengan status keturunan maka kesombongan kita itu adalah sama dengan kesombongnya kaum bani Israil yang dilaknat tuhan.
Perkara keempat yang menjadikan kita beroleh sombong ialah kerana terasa diri kita cantik dan sempurna malah memandang orang lain dengan jijik lagi hina. seperti merendah-rendah penciptaan tuhan terhadap sesaorang, sanggup menghina sesaorang itu dengan gelaran sindiran : kamu pendek, berkulit hitam, hidung penyek atau gemuk buncit, atau berkata pada sesaorang "Cermin muka awak dahulu" Jika begini penghinaan sinisnya kita pada orang lain maka kita adalah tergulung dari orang yang benar-benar sombong.
Hadirin sidang jumaat yang dimuliakan.
Perkara kelima (5) pula adalah berpunca dari kelebihan harta, dengan harta yang banyak diberi tuhan membuat kita lupa daratan, berbangga dan menghina orang yang kurang berada, seumpama jika sudah terlalu berharta, mempunyai kenderaan mewah dua tiga, sanggup menghina dengan menyombong diri dengan mengatakan harga sebelah tayar kereta kita sahaja mampu membeli 3 buah kereta mereka. atau segala harta kamu itu baru menyamai harga sebuah kerusi antik dirumah kita Jika sifat seumpama ini ada pada kita, Maka kamu adalah tergulung dari orang yang sangat sombong.
Perkara ke enam (6) yang membuatkan kita menjadi sombong ialah kerana kekuatan dan kegagahan diri yang Allah beri. Semua orang akan dibuli kerana kuatnya badan kita tidak terperi, hingga boleh memakan kaca seperti mengunyah biskut merry. Boleh menarik bas dan lori hanya dengan gigi. Boleh dihempap badan dengan batu dan besi, Siapa yang berani melawan, tengkuk dicekik kepala ditaji, Lebih hina lagi, sanggup mengambil isteri kawan dijadikan bini kerana tiada siapa lagi yang berani menghalangi. Jika sifat ini ada pada diri, maka tuan-tuan adalah pengidap penyakit sombong yang tenat dan kritikal sekali..
Dan akhirnya yang ketujuh Kata Imam Ghazali, ialah sombong dan berbangga kerana ramainya pengikut setia dibelakang diri, Sepertinya Orang alim berbangga dengan ramainya murid yang memuji. Guru silat pula berbangga dengan ramainya murid-murid yang tak lut ditetak dan tak dijilat api. Pemimpin politik berbangga dengan ramainya pengikut yang setia hingga kemati..Pemimpin-pemimpin persatuan dan pertubuhan pula sombong dan berani kerana ramainya ahli dibelakang diri. Jika kita berbangga dengan sokongan padu dari orang-orang seperti ini, maka sudah jelas kita ini sedang menderita tenat kerana telah mengidap penyakit sombong.
Tuan-tuan sidang jumaat yang dikasihi sekalian,
Mengakhiri khutbah ini, Hendaklah memeriksa diri kita sendiri, Kerana tujuh perkara yang membawa kita kepada penyakit sombong telah kita dengari, Penawarnya ada ditangan sendiri. Masih tidak faham atau perlu diberitahu cara bagaimana lagi. Jangan menyesal dikemudian hari, diakhirat nanti tuan-tuan dan saya akan mengigit jari lantaran berpenyakit sombong yang memakan diri. Jangan diambil sifat Sombong itu untuk dipakai pada dirimu, Kerana sifat sombong itu hanya layak bagi Allah sahaja yang memakainya.
Ingat sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
"Orang-orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak-pijak mereka oleh manusia,, kerana hinanya mereka pada Allah SWT"…..Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah.
KHUTBAH KE 2
Penyakit Sombong Membakar Diri
Marilah sama sama kita mentaati Allah, yakni dengan mengerjakan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah, mudah mudahan Allah akan memberkati kehidupan kita di dunia dan di akhirat.
Hadirin sidang jumaat sekalian,
Bagaimana setelah diri kita diperiksa dan dirawati sebentar tadi, Jika kita bebas dari penyakit sombong diri, kita bersyukur, tetapi bagaimana tujuh (7) perkara yang didengari tadi, membuat kita gundah gelana, sedih dan sebak kerana kita tergulung dari orang yang mengidap penyakit sombong yang membakar diri, bukan baru dijangkiti tetapi baru disedari, rupanya telah berpuluh-puluh tahun kita menanggung penyakit sombong ini. Maka cara yang terbaik untuk mengubatinya ialah dengan cara melihat kembali asal usul kejadian diri.
Sidang jumaat sekalian,
Kita melihat manusia yang melakukan kesombongan yang melampau dizaman silam, seperti Namrud, Firaun dan Haman, semuanya dihina oleh Allah atas dunia ini lagi. Mati didalam keadaan hina dan dimalukan, Kita juga boleh melihat betapa orang-orang yang sombong diatas dunia ini semuanya mati didalam keadaan yang menyedihkan. Rasulullah mengingatkan kita dan memberi amaran keras kepada orang orang yang berpenyakit sombong dan baginda pernah berkata:: Apakah orang yang sombong diri itu tidak akan mati. Segagah dan sehebat mana empayar yang dibina, namun seorang manusia itu pastinya akan mati. Kecantikan sesaorang tetap akan pudar dan luntur sebaik sahaja tua menghampiri mereka. Bila umur kita sudah sampai ketahap rumah kata pergi, kubur kata mari, dan diikuti dengan bermacam penyakit datang bertubi-tubi, Lupakah kita kalian, Dulu masa tengah muda, garang dan bercakap lantang, Bila dah tua, sakit mula menyerang, sekarang terlantar diwad, mengeluh dan mengerang saorang. Gagahnya dulu tersilap sedikit, menyepak terajang, sekarang lumpuh satu badan, segalanya hilang, Dulu bonzer kaki pukul, sekarang dah terlentang, orang lain pula tukang pikul, dulu badan sendor, tegap dan kuat, sekarang kurus melidi tidak berdaging seumpama papan sekeping. Mana kesombongan kamu dahulu. Mana kekuatan kamu dahulu dan mana kehebatan kamu dahulu, semuanya akan lenyap ditelan usia.
|