Kembali

KHUTBAH JUMAAT
18 Ogos 2006 / 24 Rejab 1427 H
Tajuk :
Mat Rempit Dan Mat Ragut

OLEH : Ustaz Hj Mohd Zakuan Hj Tak


Sidang jumaat yang berbahagia

Bertaqwalah kamu sekalian kepada Allah SWT dengan sebenar benar taqwa, yakni mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya.  Mudah mudahan kehidupan kita di dunia dan di akhirat nanti, akan beroleh kejayaan dan kemenangan.

 

Yang bermaksud:
“ Hanya ada jalan terhadap orang2 yang menginaya kepada menusia dan berbuat bencana dimuka bumi tanpa kebenaran, untuk mereka itu siksa yang sangat pedih”..As-shuro a: 42.

Sidang jumaat yang berbahagia

Sejak kebelakangan ini negara kita saban hari di kejutkan dengan berita insiden social remaja yang kian semakin parah.  Isu ragut dan penglibatan remaja melayu dalam menceburi lumba moto haram atau Mat Rempit telah mencetuskan kebimbangan di kalangan penduduk setempat, terutama ibubapa yang mempunyai anak anak remaja baik lelaki atau perempuan.  Isu ragut umpamanya didalam dua tiga hari ini mengambil tempat carta teratas diakhbar tempatan memberitahu bahawa isu ini sudah semakin membimbangkan kesejahteraan masyarakat majmuk dinegara kita.   Mungkin ada diantara wanita wanita di kotaraya kini, mula berfikir dua kali sebelum menjejakkan kaki keluar dari rumah mereka, terutamanya pada waktu malam.  Kebimbangan ini patut pun ada, dan berasas apabila insiden ragut kini semakin menjadi jadi berlaku di kota raya Kuala Lumpur dan di bandar lain.

Kes terbaharu, seorang remaja perempuan, penuntut sebuah Kolej di Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur.  Kemudian diikuti seorang jurujual wanita di Kompleks Berjaya Megamal Kuantan, dan seorang lagi pembantu jualan dari Johor telah menjadi korban ragut oleh sekumpulan penyamun atau Matragut yang tidak berperikemanusiaan ini.  Ketiga tiga mangsa ragut ini mati secara percuma hanya kerana cuba bergelut dan mempertahankan diri dan menjaga barangan berharga dari diragut, tetapi dengan begitu berani dan rakus peragut samsing ini mengambil apa sahaja yang ada pada mangsa malah nikad mencederakan mangsa, yang mengakibatkan kematian trajis terjadi keatas mereka.  Persoalannya sekarang, Wajarkah mereka ini dibunuh? sedangkan kesalahan apa yang dilakukan oleh  mereka sebagai belia belasan tahun sehingga mereka diberi hukuman dengan sebegitu kejam.

Sidang jumaat yang dihormati.

Kini isu jenayah ragut, rogol dan bunuh sudah menjadi satu jenayah harian yang terpaksa dibebani dan ditangani oleh pihak berkuasa dinegara kita.  Dulu suasana negara kita tidak sebegini, aman dan damai, kalau adapun cuma terselit hanya satu dua, tetapi kenapa kes seperti ini sekarang berlaku di mana mana, Baca di akhbar, malah dapat ditonton di TV, dan kadangkalanya kita muak untuk membaca malah jemu untuk ditontoni. Terlintas difikiran kita, apakah manusia kini sudah hilang akal dan berani melakukan apa sahaja mengikut kata nafsu mereka. Dimana sikap kasih sayang yang ada pada diri kita?, Apa sudah jadi dengan manusia diakhir zaman ini.  Mengapa manusia hari ini sanggup meragut, merogol, dan membunuh.  Apakah faedah yang mereka dapat melalui tindakan yang tidak berperikemanusian ini. Dari konteks pembangunan negara, pembunuhan ke atas gulungan belia seperti ini merupakan satu kerugian besar kepada negara dimana dalam usia yang begitu muda, negara kehilangan sebutir permata berharga dalam menyumbang kepada pembangunan negara.  Peningkatan kes ragut di ibukota sejak akhir akhir ini turut menimbulkan kesangsian di kalangan penduduk terhadap kesungguhan pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan perumahan.  Kegagalan menangani isu ini dengan tidak bersungguh serta bersikap lepas tangan dan hanya bertindak sebaik sahaja selepas kejadian seperti hangat-hangat tahi ayam ini, tidak wajar dibiarkan berleluasa kerana ia hanya memberikan imej buruk kepada kredibiliti mereka.

Sidang jumaat yang dihormati.

Mengapakah penyakit social ini sukar diberhenti. Apakah kerana undang undang jenayah dan perlaksanaannya dinegara kita ini terlalu rapuh dan rengan yang membuatkan Mat Ragut semakin samsing dan terus mengganas.

Sidang jumaat yang berbahagia.

Islam sangat melarang umatnya terjerumus ke dalam perbuatan jenayah, kerana ianya boleh mengakibatkan keruntuhan dan kerosakkan pada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara.  Orang yang mengerjakan perbuatan mencuri, menyamun, merompak atau membunuh mangsa, maka pelakunya adalah dianggap melakukan dosa besar dan wajib menerima hukuman setimpal diatas dunia ini lagi.  Jika thabit kesalahan bagi jenayah mencuri, maka hukum Islam menetapkan dipotong tangan kepada mereka mereka ini.  Mereka tidak akan terlepas dari hukum Hudud Allah ini, walaupun diatas dunia mereka terselamat dan tidak dipotong tangan mereka, namun diakhirat nanti mahu lari kemana?, Firman Allah SWT didalam surah Al-Maidah A; 38:

 

“ Seorang pencuri lelaki dan pencuri wanita, hendaklah dipotong tangan keduanya, sebagai balasan pekerjaan keduanya, dan sebagai siksaan dari Allah.  Allah itu maha perkasa lagi maha bijaksana…Al-Maidah A;38

Inilah hukuman Islam kepada yang mencuri, tetapi bagaimana yang menyebabkan kematian sesaorang.  Maka hukumannya adalah dibunuh. Nyawa dibayar nyawa. Inilah hukum Al-Quran dan hukum Allah.  Lihat betapa adilnya Islam bagi menangani jenayah yang dilakukan oleh orang orang yang tidak berperikemanusiaan itu, Tetapi sayangnya kita masih belum mampu melaksanakan hukum tersebut, yang menyebabkan jenayah ragut ini  akan terus meningkat.

Sidang jumaat yang berbahagia.

Bagi menangani jenayah ragut ini dari berluasa, maka berwaspadalah menjaga diri dan keluarga tuan-tuan sekalian, agar jangan diberi ruang dan peluang kepada peragut memilih kita dan keluarga sebagai mangsa ragut mereka, seperti berjalan bersendirian dengan memakai barang kemas atau menggalas beg yang mengandungi barang berharga, dan elakkan diri anda dari melalui tempat tempat yang sunyi yang disyaki adanya peragut ini.  Kepada ibubapa yang mempunyai anak remaja, maka awasilah mereka supaya jangan bercampur gaul dengan rakan rakan sebaya yang bermasalah, yang menghisap dadah dan rosak akhlak.  Mudah-mudahan dengan berwaspada sepanjang masa sambil berdoa kepada Allah agar dihindarkan dari terkena musibah jenayah ragut kepada diri dan seisi keluarga dirumah.

Orang Islam yang menjadikan sumber ragut ini sebagai mata pencarian yang membolehkan mereka menjadi kayaraya, adalah didorong oleh nafsu tamak yang didalangi iblis syaitan.  Mencuri dan merompak adalah kerja terkutuk dan wajib kita meninggalkannya.  Satu pengajaran yang serius perlu dilakukan terutama kepada anak anak yang masih kecil supaya mengambil hak orang lain itu, jangan dijadikan satu budaya kehidupan, hatta barangan tersebut adalah kepunyaan ibubapa sendiri. Jika dibiarkan mereka hari ini mencuri sebiji telur ayam, maka tidak heran pada satu hari nanti mereka akan berani mencuri ibu ayamnya, dan jika tidak dihalangi, maka akhirnya mereka akan mencuri bukan setakat ayam malah dengan reban reban ayam akan diangkut sekali oleh mereka.

Saudara seagamaku yang dikasihi.

Hari ini fenomena mencuri kasut berjenama di masjid masjid di kotaraya KL ini  terus menjadi bualan ramai. Orang yang bersembahyang berjemaah sudah pasti tidak akan sembahyang khusuk kerana teringat  kasut diluar pasti dikebas pencuri. Sindiket pencuri-pencuri kasut di masjid  sudah menjadikan kerja ini sebagai profesyen sebati mereka.  Sudah tidak rasa lagi berdosa, lebih lebih lagi jika mereka mereka ini terlibat dengan penyalahan najis dadah.  Kita bukan tidak kesihan melihat mereka, kerana mereka adalah anak bangsa kita,  Bukan ibubapa mereka tidak memberi pelajaran kepada mereka,  tetapi kerana nafsu dan  mengikut perasaan atau kurang minat pada pelajaran serta tiada  didikan agama yang mendalam, maka mereka terikut dengan rentak remaja kota yang menjadikan dadah sebagai rakan kehidupan dan suka hidup merayau yang tidak ketahuan.

Kita sendiripun, kadang kadang telah dan sedang melakukan kerja mencuri yang tidak disengajakan. Seumpama bila kita pergi ke masjid, kasut kita  dikebas orang, maka kita akan bertindak mengebas kasut orang lain pula.  Seharusnya kita redzo dan balik dengan berkaki ayam, Tetapi malangnya, kasut orang lain pula yang akan kita kebas.  Kecurian tanpa niat  juga boleh berlaku, dimana seringkali barangan wakaf masjid atau surau semakin hari semakin kurang bilangannya.  Mana tidaknya, Kitab-kitab, tikar masjid, sejadah, dan pinggan mangkuk, konon  dipinjam sementara, tetapi sampai sudah,  barangan wakaf itu tidak dipulangkan. dan akhirnya menjadi harta sendiri. Ini dipanggil pencuri moden di zaman IT.  Pelakunya tetap berdosa kerana mengambil hak orang lain untuk menjadi hak kita.

Oleh itu saudara seagamaku yang dikasihi, marilah kita menerima semua syariat Islam itu sebagai sumber ikutan kehidupan kita.  Apabila mencuri itu merupakan satu kesalahan dan berdosa maka berusahalah sedaya upaya kita agar tidak terjebak walau sebesar zarah sekali pun didalam jenayah mencuri.  Jika tidak dibendung dari awal maka fenomena mencuri akan menjadi penyakit masyarakat yang serius, yang membuatkan negara kita tidak aman dari jenayah mencuri dan merompak.

Khutbah Ke-2

Sekali lagi saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang jumaat yang dirahmati, agar meningkatkan ketaqwaan masing masing kepada Allah SWT, yakni dengan mengerjakan segala suruhannnya dan meninggalkan segala larangannnya.
Tuan tuan sidang jumaat yang dihormati.
Belum pun reda isu menangani Mat Ragut, kini muncul pula isu remaja melayu terbaharu Mat Rempit.  Kisah orang melayu dan motosikal cukup menarik untuk dirungkai.  Tuan tuan harus tahu bahawa penunggang motosikal dinegara ini yang paling teramai ialah orang Melayu.  Meskipun orang Melayu paling ramai menggunakan motosikal, Tetapi bidang penjualan, pengedaran servis dan pembaikan motosikal tidak pula dikuasai oleh orang Melayu kita.  Kerana motosikal, maka orang Melayu juga menjadi kaum yang paling ramai mati akibat kemalangan motosikal dijalanraya.
Sidang jumaat yang dihormati,
Isu yang mengganggu fikiran kita sekarang,  ialah  fenomena lumba motosikal haram anjuran Mat Rempit ini.  Semakin ramai anak muda Melayu Islam terjebak, menjadikan jalan raya di kota KL ini sebagai medan mereka menunjuk lagak.  Rasanya tiada bandaraya lain di dunia yang menyaksikan penunggang motosikal bermaharajela dengan aksi liar yang merbahayakan diri sendiri, melainkan di Kuala Lumpur dan di beberapa bandar besar dinegara kita sahaja.  Malah perlumbaan yang diadun cipta oleh Mat Rempit Malaysia sudah menjalar di perkampungan2, di rancangan Felda dsb.  Saban malam kebisingan luar biasa hasil dari enjin moto yang telah diubah suai mengugat keharmonian malam serta menganggu anak anak kecil untuk tidur.

Malah terdapat cerita Mat Rempit di KL  ini,  berlumba dengan aksi yang cukup membahayakan nyawa mereka sendiri, aksi terbang seperti superman, boleh corner baring sehingga helmet mencecah bumi seperti spiderman, berlumba sehingga tayar hadapan diangkat macam batman malah ada yang mempertaruhkan wanita sebagai habuan kemenangan.

Orang ramai sudah lama kecewa dan marah kerana gejala Matrempit ini, telah sampai ketahap memudharatkan keharmonian dan keselamatan bagi pengguna jalanraya yang lain.  Kumpulan Matrempit ini tidak boleh ditegur, jika ditegur maka mereka akan membelasah beramai ramai kepada penegur.  Apa yang membimbangkan diantara mereka ini berlumba dibawah pengaruh alkohol dan najis dadah. Ini menyebabkan tindakan mereka itu antara sedar dengan tidak. 

Sudah banyak berlaku kes kemalangan yang menyebabkan ramai kematian kumpulan mat rempit ini, namun tidak menginsafkan mereka,  walaupun antara mereka yang pernah kemalangan tetapi tak mati, Patah tangan patah kaki, malah ada yang tidak berkaki, dan otak yang tidak berfungsi, tidak sedikitpun menginsafkan mereka,  malah dari sehari aksi mereka makin menjadi jadi.  Walaupun pihak berkuasa cuba membenteras, namun, mereka tidak ditakuti malah ada yang merempuh pihak keselamatan yang menyebabkan kematian kepada anggota keselamatan.  Inilah masalah remaja melayu kita hadapi,  Kurang minat pada mendalami ilmu pengetahuan tetapi amat berminat dengan aktiviti yang merugikan kehidupan.  Semoga khutbah hari ini dapat menginsafkan diri kita agar dapat sama sama membenteras gejala buruk yang dilakukan oleh anak remaja kita.  Bangun menasihati mereka dengan kasih sayang dan tunjuk ajar yang membina. Kerana mereka itu adalah sebutir mutiara yang bakal mengganti kita  untuk kesejahteraan Negara akan datang.

  Keatas Kembali